Ashikin mampu cipta kejutan di Kejohanan Asia

Ashikin mampu cipta kejutan di Kejohanan Asia

Nurul Ashikin Abas diyakini mampu mencipta kejutan di Kejohanan Olahraga Asia (AAC) 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas menumbangkan juara Asia 2019 pada Kejohanan Olahraga Hong Kong minggu lalu, Nurul Ashikin Abas diyakini mampu mencipta kejutan di Kejohanan Olahraga Asia (AAC) 2025 di Gumi, Korea Selatan, hujung bulan ini.

Ashikin meraih emas dengan lompatan 12.97 meter (m), menewaskan juara Asia 2019 dari Thailand, Parinya Chuaimaroeng (12.95m) dan atlet Singapura, Tia Louise Rozario (12.89m), yang berlatih di bawah program Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat (NCAA) ketika menyambung pengajian di Universiti Princeton.

Jurulatih lompat kijang dan jauh negara, Ahmad Firdaus Salim berkata, biarpun Ashikin tidak mencapai catatan 13m ke atas, pengalaman menewaskan dua atlet berkenaan memberi satu motivasinya untuk mencipta kejutan di Kejohanan Asia berkenaan.

Firdaus optimis anak buahnya boleh mencabar kelompok terbaik Asia di AAC Gumi, Korea Selatan dari 27 hingga 31 Mei ini berdasarkan prestasi semasa dan semangat yang ditunjukkan.

“Walaupun lompatan tak capai 13m tapi dengan pengalaman mengalahkan juara Asia 2019, memang sangat menakjubkan. Sasaran saya hanya untuk mengalahkan atlet Singapura kerana kalau dapat kalahkan atlet NCAA sudah cukup memberi keyakinan diri yang baik.

“Untuk sekarang kemenangan macam ini penting untuk meningkatkan kekuatan psikologi dan fokus,” kata Firdaus kepada Utusan Malaysia.

Lebih manis, kejayaan di Hong Kong sejauh 12.97m itu merupakan catatan terbaik musim Ashikin selepas lompatan terbaiknya 13.44m ketika Kejohanan Olahraga Super Series Perlis pada Oktober lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan fokus Ashikin selepas AAC akan beralih kepada Sukan Universiti Dunia (WUG) di Jerman, Julai ini, sebelum misi kemuncak di Sukan SEA Thailand pada hujung tahun.

“Secara kasarnya, kekuatan fizikal menjadi komponen utama untuk persediaan ke Sukan SEA tahun ini,” ujarnya-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN