KUALA NERUS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan melatih 100 tekong laut setiap tahun bagi mengatasi kekurangan serius tekong tempatan dalam industri perikanan negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Terengganu dipilih sebagai negeri perintis bagi program latihan berkenaan yang dikendalikan Jabatan Perikanan Malaysia di Lumut, Perak dan Chendering, Terengganu.
Kata beliau, kekurangan tekong laut dalam melibatkan warga tempatan menyebabkan sektor berkenaan ketika ini banyak dikuasai tekong asing dari Thailand, Vietnam dan Myanmar.
“Kita mahu melahirkan tekong tempatan yang berkemahiran dan mampu turun ke laut dalam bagi meningkatkan hasil tangkapan. Malah saya berbangga apabila kumpulan pertama sudah tamat menjalani latihan tekong selama enam bulan.
“Laut dalam mempunyai sumber ikan bernilai tinggi seperti tuna. Kita juga akan membangunkan produk hiliran berasaskan tuna yang mampu menjana pendapatan lebih lumayan,” katanya selepas Majlis Sentuhan AgroMADANI dan Iftar Bersama Nelayan Kuala Terengganu Utara yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, di sini hari ini.
Mohamad berkata, program latihan tekong laut dalam itu akan diperluas ke Selangor, Pahang dan Sarawak dalam masa terdekat.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menangani isu nelayan asing termasuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Vietnam supaya undang-undang laut dipatuhi sepenuhnya.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan RM9 juta bagi menaik taraf dan menambah baik kemudahan Slipway LKIM Pengkalan Arang dalam usaha memperkukuh ekosistem industri perikanan negara.
Katanya, projek berimpak tinggi di bawah Pelan Strategik LKIM 2026-2030 itu akan mentransformasikan keupayaan limbungan tempatan untuk menyokong bot nelayan sehingga 200 Gross Registered Tonnage (GRT).
“Sebagai permulaan, sebanyak RM500,000 diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan kerja awalan termasuk siasatan tapak, ukur topografi dan batimetri. Limbungan atau slipway ini adalah nadi kepada pengoperasian nelayan. Apabila bot rosak, ia boleh dibaiki dengan segera.
“Dengan kemudahan lebih moden dan cekap, tempoh penyelenggaraan dapat dipendekkan sekali gus memastikan kelangsungan bekalan protein negara serta menjamin pendapatan nelayan tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata. kerajaan melalui LKIM menekankan aspek kebajikan dan pemerkasaan komuniti nelayan di Terengganu bagi tahun 2026.
Antaranya, Bantuan Rumah Nelayan di bawah Program Khas Perumahan Nelayan (PKPN) membabitkan peruntukan RM896,000 bagi 28 unit baik pulih dan empat unit bina baharu rumah nelayan di negeri ini. Selain itu, Bantuan Touchpoint Produktiviti disalurkan dalam bentuk peralatan menangkap ikan bernilai sehingga RM15,000 seorang dengan jumlah keseluruhan RM225,000 khusus untuk nelayan Terengganu.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM50,000 bagi memperkasa ekonomi kumpulan KUNITA dan KUBENA bagi meningkatkan daya saing usahawan wanita serta belia nelayan dalam aktiviti ekonomi hiliran,”katanya.
Pada majlis itu, seramai 250 nelayan menerima Zakat Wakalah NEKMAT serta Sijil Tekong Latihan kepada peserta Program Pembangunan dan Pencarian Tekong Tempatan (PPTT) LKIM Terengganu. – UTUSAN











