PETALING JAYA: Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC) mengorak langkah baharu dalam landskap sukan tanah air apabila memeterai kerjasama strategik bersama pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan golf komuniti di negara ini.
Kerjasama dua tahun yang dimeterai hari ini merupakan jalinan korporat sulung buat TPGCC sejak ditubuhkan pada 2007.
Dalam majlis penuh bersejarah itu, Bermaz Motor turut menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 sebagai simbol komitmen terhadap pembangunan sukan golf serta inisiatif komuniti kelab berkenaan.
Pengarah Pemasaran Bermaz Motor, Lee Ai Hoon berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha memperkasa sukan golf di peringkat akar umbi.
“Mazda sentiasa menjanjikan pengalaman pemanduan yang melangkaui jangkaan, dan bersama-sama TPGCC, kami berharap dapat menyokong pertumbuhan sukan golf serta memberi impak positif kepada komuniti,” ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kenderaan Mazda akan ditampilkan sebagai hadiah eksklusif ‘hole-in-one’ dalam kejohanan utama anjuran kelab, sekaligus menambah elemen prestij dan keterujaan kepada setiap penganjuran pertandingan golf di situ.
Sementara itu, Pengurus Besar TPGCC, Nor Afendi Mohd Razlan berkata, kerjasama dengan jenama berprofil tinggi seperti Mazda menjadi pemangkin kepada misi kelab dalam memperluas akses kepada sukan golf untuk semua.
“Ini merupakan satu detik yang cukup membanggakan bagi kami. Kerjasama dengan jenama berprestij seperti Mazda amat selari dengan visi kami untuk terus berkembang, berinovasi, dan menawarkan pengalaman terbaik kepada para pemain golf, tetamu, serta komuniti golf secara keseluruhan,” jelasnya.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut diserikan dengan kejohanan golf persahabatan melibatkan 40 pemain, diikuti jamuan tengah hari yang dihadiri lebih 70 tetamu kehormat termasuk wakil media dan tokoh berpengaruh tempatan.
TPGCC kekal komited dalam menjadikan sukan golf lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. Kelab ini turut menyeru penyertaan daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO dalam usaha memartabatkan sukan golf sebagai wadah keterangkuman dan gaya hidup sihat.
Pada tahun 2023, TPGCC pernah menganjurkan Kejohanan Amal Golf Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) dan bersedia menyambutnya semula pada tahun ini.
Kerjasama strategik ini bukan sekadar simbolik, malah merupakan langkah berani TPGCC untuk terus menjadi pelopor dalam pembangunan golf awam di Malaysia.-UTUSAN