KUANTAN: Sri Pahang FC mencatat kemenangan ke empat berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas berjaya menewaskan Penang FC 3-2 di padang Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Tanpa penyerang, Kpah Sherman dan pemain tengah, Manuel Hidalgo, Sri Pahang turun dengan kesebelasan utama yang mungkin akan dipertaruhkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia minggu hadapan.
Tanpa dua pemain import itu, perlawanan ini amat penting untuk Fandi menilai dan menyusun gandingan terbaik sebelum aksi bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dalam aksi berkenaan, Sri Pahang bermula garang dengan beberapa percubaan untuk menewaskan penjaga gol pelawat dan pada minit ke-18, Mykola Ahapov membalas kepercayaan Fandi apabila berjaya menjaringkan gol pertama.
Selang lapan minit kemudian, Sri Pahang hamper menggandakan kedudukan, namun tandukan T. Saravanan yang menerima hantaran Sergio Aguero sedikit tersasar.
Penang FC yang dikendalikan Wan Rohaimi Wan Ismail cuba membalas serangan, namun benteng pertahanan Sri Pahang yang dikawal Adam Nor Azlin, Fazli Mohd Shas dan Stefano Brundo banyak membantu Zarif Irfan mengawal pintu golnya.
Bersambung babak kedua, penyerang Penang FC, Alif Ikmal Rizal berjaya menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1.
Pada minit ke-57, tuan rumah kembali di hadapan selepas pemain pertahanan, Syazwan Andik menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah.
Tidak berputus asa, Penang FC kembali menyamakan kedudukan 2-2 selepas bola tampanan pemain pertahanan import Sri Pahang, Stefano Brundo menerjah jaring skuad itu.
Empat minit sebelum berakhir perlawanan, Ahapov membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan gol ketiga untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad Tok Gajah pada aksi terakhir Liga Super.-UTUSAN