Nur Azmi mahu pastikan era keemasan sukan Malaysia bukan sekadar mimpi

Nur Azmi mahu pastikan era keemasan sukan Malaysia bukan sekadar mimpi

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kiri), dan Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad berjabat tangan pada Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Olimpik Malaysia ke-44 dan Pemilihan Jawatan Bagi Penggal 2025-2029.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dengan tekad yang membara dan visi yang terang, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad mengukir sejarah sebagai Timbalan Presiden baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Pemilihan beliau, disambut penuh keyakinan oleh komuniti sukan tanah air, menjadi bukti kepercayaan terhadap kepimpinannya dalam mengangkat martabat sukan negara ke persada global.

Kemenangan ini bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi janji besar untuk melakar masa depan gemilang atlet Malaysia, terutamanya menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Berasal dari latar belakang pengurusan sukan yang kukuh, Nur Azmi membawa bersama pengalaman puluhan tahun dalam membentuk ekosistem sukan dari peringkat akar umbi hingga elit.

Beliau dikenali sebagai individu yang tidak pernah lokek berkongsi idea progresif, seperti melancarkan program pembangunan bakat muda yang merangkul institusi pendidikan dan akademi sukan, serta memperjuangkan akses teknologi canggih untuk atlet negara.

Komitmennya dalam memastikan persiapan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dilengkapi sokongan menyeluruh menjadi bukti ketokohan beliau sebagai pemimpin yang berorientasikan hasil.

BARISAN Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029.

Beliau menegaskan bahawa sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi medan untuk membina jati diri bangsa.

Visinya sebagai Timbalan Presiden MOM berteraskan tiga teras utama iaitu sokongan holistik untuk atlet, ketelusan pengurusan dan pemerkasaan sukan rakyat.

Beliau bertekad memastikan setiap atlet mendapat akses kepada latihan berteknologi tinggi, sokongan psikologi dan jaminan masa depan pasca-kerjaya.

Di samping itu, beliau menekankan pentingnya akauntabiliti dalam pengurusan dana MOM, agar setiap sumber dimanfaatkan sepenuhnya untuk kemajuan sukan.

Tidak ketinggalan, agenda ‘Sukan Untuk Semua’ akan diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, bertujuan menjadikan sukan sebagai budaya masyarakat.

Dalam momen penuh emosi, Nur Azmi tidak lupa mengucapkan rasa syukur kepada rakan-rakan seperjuangan yang bersama-sama menyalurkan tenaga, idea, dan sokongan padu sepanjang tempoh berkempen.

“Kemenangan ini adalah hasil usaha berpasukan dan terima kasih kepada setiap individu yang percaya pada visinya serta tidak jemu memberi dorongan, sama ada secara langsung mahupun dari belakang tabir,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa semangat kesatuan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan sepanjang proses berkenaan menjadi pendorong utama kejayaan beliau.

Cabaran terbesar pada masa ini adalah memacu persiapan atlet ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sambil membina dasar jangka panjang untuk generasi muda.

Nur Azmi yakin dengan pendekatannya yang dinamik, beliau juga menyatakan perlunya pergerakkan pantas namun terancang, dengan inovasi dan kolaborasi sebagai kunci untuk bersaing di peringkat global.

Antara langkah segera beliau termasuk memperkukuh platform digital pemantauan prestasi atlet, memperluas jaringan antarabangsa MOM, serta menggilap program pembangunan belia melalui kerjasama dengan institusi terkemuka.

Sebagai pemimpin yang sinonim dengan semangat pantang mundur, beliau juga menekankan pentingnya kesabaran dalam mencapai kejayaan.

Beliau menegaskan bahawa transformasi tidak berlaku dalam masa satu hari dan setiap langkah perlu diambil dengan istiqamah serta memberi impak yang nyata.

Kredibilitinya sebagai ahli strategi sukan yang dihormati menjadi modal utama untuk menarik minat pelaburan dan kerjasama korporat, seterusnya membuka lebih banyak peluang kepada atlet.

Pelantikan Nur Azmi Ahmad diibaratkan sebagai obor baharu yang menyinari hala tuju sukan Olimpik Malaysia.

Kepimpinannya diharap menjadi pemangkin kepada kemunculan atlet berprofil tinggi yang mampu mengibarkan jalur gemilang di pentas dunia.

Bagi rakyat Malaysia, beliau bukan sekadar pemimpin, tetapi simbol kesatuan dan aspirasi sukan negara yang semakin rancak bernafas.

Kini, seluruh mata tertumpu pada langkah pertamanya. Dengan semangat yang berapi-api dan iltizam yang tidak berbelah bagi, Nur Azmi sedia membuktikan bahawa era keemasan sukan Malaysia bukanlah sekadar mimpi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN