PETALING JAYA: Skuad badminton negara terus mempamerkan taring di Piala Sudirman 2025 apabila menundukkan Australia 4-1 dalam aksi Kumpulan C, hari ini sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Gandingan campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka laluan kemenangan selepas mempamerkan aksi meyakinkan untuk menghadiahkan mata pertama negara.
Pasangan No. 3 dunia itu menewaskan Ricky Tang-Gronya Somerville 21-8, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama 27 minit.
Penampilan sulung Justin Hoh di pentas berpasukan antarabangsa pula berlangsung cemerlang apabila beliau menewaskan Shrey Dhand 21-9, 21-15 tanpa memberi banyak ruang kepada lawan.
Turut mencuri tumpuan ialah perseorangan wanita, K. Letshanaa yang tampil dengan semangat juang tinggi untuk menjadikan kedudukan 3-0, sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia lebih awal selepas menewaskan Teoh Kai Qi, 21-6, 21-8.
Juara Asia 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kemudian menyempurnakan kemenangan bergaya dengan menewaskan gandingan muda Australia, Jack Yu-Frederick Zhao 21-8, 21-9.
Satu-satunya kekurangan dalam pertemuan itu ialah kekalahan pasangan beregu wanita pecah ganding negara, Go Pei Kee-Carmen Ting yang tewas 15-21, 18-21 kepada gandingan No. 84 dunia, Gronya Somerville-Angela Yu.
Malaysia seterusnya dijadualkan akan berdepan Jepun pada 1 Mei ini bagi perebutan juara Kumpulan C. – UTUSAN