Kehabisan stok makanan, dapur komuniti Gaza bakal ditutup

Kehabisan stok makanan, dapur komuniti Gaza bakal ditutup

PENDUDUK Palestin mencari sisa makanan dalam periuk masakan di sebuah dapur amal di kem pelarian Bureij, tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Dapur komuniti Gaza yang menjadi ‘talian hayat terakhir’ untuk ratusan ribu rakyat Palestin terpaksa ditutup dalam masa terdekat berikutan kehabisan stok makanan.

Pertubuhan bantuan memberi amaran berpuluh-puluh dapur komuniti berisiko menghentikan operasi jika kemasukan bantuan terus disekat, yang akan menamatkan sumber makanan percuma terakhir bagi 2.3 juta penduduk Gaza.

Sukarelawan dapur komuniti Al-Salam Oriental Food di Bandar Gaza, Salah Abu Haseera bimbang makanan disediakannya menjadi hidangan terakhir untuk kira-kira 20,000 orang yang menerima manfaat setiap hari.

“Kami menghadapi cabaran sangat besar untuk terus beroperasi. Dapur ini mungkin terpaksa ditutup dalam masa seminggu, atau mungkin lebih awal,” katanya kepada Reuters melalui telefon dari Gaza.

Jelas beliau, harga makanan di Gaza juga kini sangat tinggi dan tidak masuk akal.

Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan, harga bahan mentah dan makanan meningkat lebih 1,400 peratus berbanding semasa gencatan senjata dan stok disimpan badan itu juga sudah habis.

Sejak 2 Mac lalu, Israel menghentikan sepenuhnya semua bekalan, sekatan paling lama yang pernah dialami penduduk Gaza hingga menyebabkan stok makanan yang dikumpul semasa gencatan senjata pada awal tahun sudah terlalu terhad.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 60,000 kanak-kanak kini sudah menunjukkan simptom kekurangan zat makanan.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejak awal tahun 2025, lebih 10,000 kes kekurangan zat makanan akut dalam kalangan kanak-kanak dikenal pasti, termasuk 1,600 kes yang teruk.

Pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas menyatakan kebuluran kini bukan lagi satu ancaman, tetapi sudah berlaku di banyak kawasan di wilayah itu.

Sebanyak 52 kematian direkodkan akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, termasuk 50 kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN