PETALING JAYA: Sasaran skuad badminton kebangsaan cukup jelas iaitu mara ke perlawanan akhir yang belum pernah dilakukan Malaysia sejak Piala Sudirman diperkenalkan 36 tahun lalu.
Untuk merealisasikan sasaran itu, Malaysia terlebih dahulu perlu mengelak daripada bertemu pasukan gergasi seawal suku akhir kerana undian semula akan dilakukan sebaik saingan peringkat kumpulan berakhir.
Berada dalam balang yang menempatkan kesemua juara kumpulan menjadi misi skuad kebangsaan, apabila dijadual menentang Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan C, hari ini.
Jika berjaya menumbangkan Jepun, sekurang-kurangnya Malaysia dapat mengelak daripada bertembung pencabar yang lebih handal seperti China, Korea Selatan ataupun Indonesia di suku akhir.
Sebelum bertemu Jepun yang disifatkan sebagai ‘buku dengan ruas’, Malaysia terlebih dahulu telahpun mengesahkan tempat ke suku akhir selepas melakar dua kemenangan ke atas Perancis 5-0 dan Australia 4-1.
Menjelang aksi menentang Jepun, semua sudah maklum bahawa Malaysia hadir dengan pasukan sedikit tempang selepas kehilangan khidmat perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia akibat kecederaan.
Ekoran kepincangan itu, skuad negara kini meletakkan harapan sepenuhnya kepada beregu lelaki, wanita dan campuran untuk mengutip mata kemenangan.
Kejutan yang mungkin mampu dijelmakan menerusi perseorangan lelaki sama ada Leong Jun Hao ataupun Justin Hoh amat tipis dengan Jepun memiliki dua bintang handalan iaitu pemain No. 8 dunia, Kodai Naraoka dan Koki Watanabe yang menghuni ranking ke-16 dunia.
Pasukan negara hampir pasti menurunkan Jun Hao selepas merehatkan pemain ke-26 dunia itu sewaktu berdepan Australia, kelmarin, dan sama ada pemain berusia 25 tahun itu mampu mencipta kejutan sebagaimana yang pernah dilakukannya sebelum ini sukar untuk dibuat telahan.
Memilih jalan selamat dengan meletakkan harapan kepada beregu merupakan pilihan terbaik, tetapi, yang menjadi persoalan kini ialah sejauh mana gandingan No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mampu mengatasi badi kekalahan menentang pasangan No. 2 dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Rekod pertemuan 1-12 yang jelas tidak berpihak kepada Pearly-Thinaah amat membimbangkan kerana Malaysia memerlukan mata daripada beregu No. 1 negara itu.
Bagi aksi beregu lelaki serta campuran, gandingan No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan pasangan No. 3 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai hampir pasti menjadi pertaruhan buat Malaysia.
Soon Huat-Shevon dijangka berdepan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito yang menghuni ranking No. 9 dunia, manakala, Sze Fei-Izzuddin mungkin bertemu pasangan ke-17 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi. – UTUSAN











