Dedah bakat muda di luar negara

Dedah bakat muda di luar negara

AKMAL RIZAL RAKHLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu merangka strategi menghantar pemain muda berbakat untuk berlatih di luar negara dalam tempoh jangka panjang bagi menimba ilmu tentang bola sepak moden.

Langkah berkenaan diyakini berkesan dan mampu memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat untuk diserap dalam skuad kebangsaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemain warisan dan naturalisasi.

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, ketika ini ramai pemain berkualiti yang berumur 17 tahun sukar bersaing untuk naik beraksi di peringkat tertinggi di Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, situasi berkenaan berlaku kerana persaingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam kelab-kelab kerana kebergantungan kepada senior dan juga pemain import yang rata-rata lebih berkualiti dan berpengalaman.

“Sebenarnya kita kena akui program pembangunan sekarang lebih baik berbanding dahulu, sekarang lebih menyeluruh di peringkat sekolah rendah dan menengah dan banyak kejohanan peringkat umur dipertandingkan.

“Cuma kalau boleh FAM kena seragamkan teknik latihan kepada semua jurulatih dan jangan hanya lepas produk kepada AMD (Akademi Mokhtar Dahari) sahaja dan selepas itu terkubur, sekarang pemain nak naik ke senior sukar untuk bersaing.

“Selepas umur 17 tahun, produk berkualiti ini FAM kena pantau, mungkin boleh terus hantar kumpulan pemain terbaik ini ke luar negara untuk tingkatkan kualiti untuk tempoh dua hingga tiga tahun dan bila balik mereka sudah sedia galas tanggungjawab.

“Kaedah ini juga mampu memberi kualiti untuk membentuk skuad kebangsaan, sekarang memang pemain warisan dan naturalisasi penting. Tetapi sampai bila kita mahu bergantung kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Presiden baharu FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub kena bertindak segera bagi merancakkan program pembangunan bola sepak akar umbi negara.

Terdahulu kelmarin, Mohd. Joehari melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pada pertemuan itu beliau berkongsi agenda terkini hala tuju bola sepak negara bagi memperkasakan program pembangunan.

Akmal Rizal anak jati Kedah yang pernah diberikan peluang berlatih selama enam minggu bersama kelab remaja Bayern Munich di Jerman pada September 1997 juga berharap semua barisan kepimpinan baharu FAM dapat bersatu meningkatkan kualiti pemain muda.

“Barisan Exco FAM yang baharu dilantik juga perlu mencari solusi untuk tingkatkan kualiti pemain muda, apabila banyak kejohanan kita boleh nilai dan kumpulkan pemain untuk bentuk pembangunan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN