SUBANG JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, enggan mendedahkan hasil pertemuannya dengan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Isnin lalu.
Pertemuan itu berlangsung di Parlimen yang mana dikatakan membincangkan masa depan serta hala tuju karier bekas juara dunia keirin berkenaan.
Namun, Hannah ketika ditemui selepas merasmikan bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik semalam, memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Kami sudah adakan perbincangan yang bagus, tetapi hasilnya masih diteliti dan akan diumumkan bersama pada masa sesuai,” katanya.
Beliau turut enggan mengesahkan sama ada keputusan mengenai masa depan Azizulhasni sudah dibuat atau sebaliknya.
Sebelum ini, Hannah memaklumkan pelumba berkenaan sudah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan turut berjumpa dengannya di Paris.
Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan.
Azizulhasni sebelum ini mengesahkan tidak akan beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional, Nilai, yang bermula hari ini. – UTUSAN










