Fadhil akur tewas kepada pelumba lebih baik

Fadhil akur tewas kepada pelumba lebih baik

Aksi pelumba basikal negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dalam acara ujian masa lelaki elit pada Kejohanan Trek Asia (ACC 2025) di Velodrom Nasional, Nilai hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, mengakui dia tewas kepada pencabar yang lebih baik dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa elit lelaki Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025, di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Fadhil, yang mencatat masa 1 minit 896 saat, hanya dipisahkan dengan jurang tipis 0.2 saat kepada pelumba daripada Kazakhstan, Kirill Kurdidi yang merangkul pingat gangsa.

Pingat emas pula dirangkul pelumba dari Jepun, Ryuto Ichida sementara perak diraih oleh pelumba dari China, Qi Liu. 

Walaupun menampilkan kayuhan bertenaga, ia masih belum cukup untuk menandingi kepantasan pesaingnya.

“Saya sudah memberikan 100 peratus dan langsung tidak rasa saya kurang dalam apa-apa aspek. Cuma, hari ini saya tewas kepada pelumba yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Tahun lalu, Fadhil terpaksa melupakan penyertaan di ACC ekoran masalah kesihatan, namun tahun ini beliau kembali dengan azam tinggi untuk mencabar kejuaraan.

“Saya dan pasukan sudah melakukan persiapan terbaik, malah kayuhan saya hari ini juga terasa sangat baik. Tetapi ada pelumba lain yang lebih pantas,” katanya yang menamatkan saingan di tempat keempat.

Berkongsi mengenai perancangannya selepas ini, Fadhil bakal turun dalam acara keirin esok dengan sasaran layak ke final.

“Saya ambil satu demi satu. Fokus saya sekarang adalah untuk melepasi peringkat separuh akhir terlebih dahulu sebelum mencuba untuk layak ke final,” tambahnya.

Sementara itu, skuad berbasikal negara masih mempunyai peluang untuk menambah pingat menerusi acara keirin yang akan bermula esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN