PETALING JAYA: Ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), K. Dineshwaran mengakui berasa teruja apabila berjaya menyempurnakan tugas pertamanya bersama pasukan dengan menjuarai Kejohanan Ragbi Piala Agong 2024.
Dineshwaran lebih mesra disapa Dugro sebelum ini membantu PDRM memenangi kejohanan tersebut pada tahun lalu sebagai kapten, namun berbeza kali ini apabila dia bertindak sebagai ketua jurulatih.
Dugro pernah berkelana di Jepun selama lapan tahun beraksi dengan dua kelab berbeza iaitu Yamaha Jubilo dan Hino Red Dolphins mengakui dia banyak dibantu oleh jurulatih berpengalaman Yusli Ramli atau lebih dikenali sebagai Pak Tam.
“Saya berasa gembira kerana dapat memenangi kejohanan ini dan ini merupakan tugas pertama saya sebagai ketua jurulatih. Saya berasa amat berbangga dan terima kasih kepada PDRM.
“Dulu masa saya bergelar pemain saya ada masalah saya seorang sahaja berbanding sekarang sebagai jurulatih kalau ada 40 pemain bermakna saya ada 40 masalah.
“Jurulatih Pak Tam banyak membantu saya. Dia membantu saya daripada segi bagaimana saya perlu mengawal emosi ketika bercakap dengan pemain malah pemilihan pemain dia banyak membantu saya dan saya berterima kasih kepadanya,” katanya.
Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, semalam menyaksikan PDRM mudah menewaskan Johor 43-29 dan mengulas mengenainya, Dugro mengakui semangat kerjasama antara pemain menjadi pendorong kejayaan pasukan.
“Saya selalu ingatkan pemain, ini adalah keluarga dan mereka bekerja antara satu sama lain. Saya turut memberitahu jangan menyalahkan orang lain apabila ketinggalan.
“Fokus apa yang lebih penting dan saya selalu ingatkan mereka apa yang lebih penting untuk seterusnya bagi membantu pemain ketika berada dalam ketinggalan,” katanya. – UTUSAN










