KAKI bangku terima maklum balas yang bercampur baur daripada kawan-kawan dalam kalangan pemimpin sukan selepas berita mengenai peruntukan RM15 juta dikhaskan oleh Perdana Menteri kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dana itu diperuntukkan untuk menguruskan Harimau Malaya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau sendiri akan pantau perkembangan pasukan negara.
Dalam masa yang sama, rata-rata pemimpin sukan lain yang terpaksa bergolok bergadai untuk meneruskan kelangsungan persatuan masing-masing.
Bola sepak selalu dapat peruntukan besar, manakala sukan mereka terpinggir daripada bantuan arus perdana.
Atas faktor bahawa bola sepak mempunyai daya tarikan tersendiri dan jadi ejen yang menyatupadukan rakyat berbilang bangsa, sebagaimana nasi kandar kegemaran, nasi lemak dan roti canai, pasukan Harimau Malaya terima layanan Istimewa.
Kaki Bangku puji PMX, biasanya Perdana Menteri tidak ambil pusing pasal bola sepak kerana yang bagi peruntukan sebelum ini pun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudi menghadiahkan RM10 juta pada awal 2022.
Anwar umum peruntukan sebanyak RM10 juta adalah daripada kerajaan manakala RM5 juta lagi komitmen daripada syarikat swasta khusus untuk kebajikan, latihan dan pengurusan pasukan berkenaan. Terdahulu RM5 juta diumum sebagai peruntukan selepas Piala Asia AFC awal tahun ini.
Peruntukan ini berita baik buat FAM dan presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin. Kaki Bangku ucap tahniah atas penganugerahan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota kepada Hamidin.
Walaupun Harimau Malaya diboikot, bola sepak tempatan dilanda isu gaji tertunggak dan Hamidin selaku Ketua Kontinjen ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tidak membawa pulang emas, kedudukannya selaku Ahli Majlis FIFA membawa status terhormat.
Cuma jangan FAM mudah menswastakan Harimau Malaya kepada mana-mana pihak ketiga yang berkepentingan.
Selaku pasukan yang membawa nama negara, Harimau Malaya tidak boleh dijaja kepada mana-mana syarikat atau individu, ia harus kekal mutlak di bawah panji FAM dengan sokongan Kerajaan Persekutuan. Jadikan Harimau Malaya entiti komersial yang boleh jana pendapatan sendiri di bawah naungan FAM.
Lupa Kaki Bangku nak ingatkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Presiden dan timbalan presidennya Tan Sri , jangan ada dua nakhoda pula dalam satu kapal di MOM!.-UTUSAN










