PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Pau Mari Vicente perlu bijak mengatur strategi selepas memanggil skuad serba lengkap bagi menyertai Pestabola Merdeka 2024.
Bekas pengendali Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan berkata, pemain dalam skuad Vicente ketika ini dilihat mempunyai keupayaan untuk memberikan kejayaan buat negara.
Wan Jamak berkata, skuad Harimau Malaya memiliki gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda yang cukup seimbang dan situasi itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Pemain berpengalaman seperti (Dion) Cools dan Arif (Aiman) sangat penting dalam pasukan kerana mereka mampu memperkasakan jentera serangan dan pertahanan negara.
“Kombinasi ini memberikan kita kelebihan besar di atas padang. Pengalaman Cools di liga luar dan kebolehan teknikal Arif Aiman adalah aset tidak ternilai,” kata kepada Utusan Malaysia.
Menurut Wan Jamak, beliau percaya pemilihan pemain kali ini bukan sahaja berdasarkan prestasi semasa tetapi juga keupayaan mental untuk menghadapi tekanan pertandingan.
“Pemain-pemain ini telah menunjukkan ketahanan mental yang kuat dalam pelbagai kejohanan sebelum ini. Itu faktor penting untuk memastikan mereka dapat bertahan dalam situasi kritikal,” jelasnya.
Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan berkata, Harimau Malaya perlu menebus kekecewaan selepas kecundang pada final Pestabola Merdeka edisi lalu apabila tumpas 0-2 kepada Tajikistan.
Menurut Razman, kejayaan di Pestabola Merdeka 2024 bukan sahaja penting untuk memperbaiki maruah pasukan, tetapi juga untuk membuktikan kemampuan skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
“Pemain perlu mengambil kekalahan pada edisi lepas sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasi dan menunjukkan semangat juang yang lebih tinggi. Setiap perlawanan adalah peluang untuk membuktikan sesuatu, terutama di hadapan penyokong sendiri,” kata Razman.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di peringkat separuh akhir menentang Filipina pada 4 September ini manakala satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di final pada 8 September, manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari sama.-UTUSAN










