LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui tidak bimbang selepas The Reds masih belum membawa masuk pemain baharu kerana beliau mewarisi pasukan yang baik di Anfield.
Slot berdepan tugas getir apabila mengambil alih tempat Jurgen Klopp, namun berjaya meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Ipswich 2-0 pada minggu lalu.
Untuk rekod, Liverpool adalah satu-satunya pasukan EPL yang belum membuat sebarang pembelian dalam jendela perpindahan pemain musim ini.
Pemain Sepanyol, Martin Zubimendi menolak tawaran Liverpool apabila mahu kekal bersama Real Sociedad manakala penjaga gol Valencia, Giorgi Mamardashvili dilaporkan hampir ke Anfield namun memilih untuk beraksi di Mestalla.
“Saya percaya kepada pasukan. Seperti saya katakana sebelum ini, saya mewarisi pasukan yang amat bagus, dengan pemain muda. Kami mempercayai mereka dan mereka membuktikan bahawa mereka layak untuk mendapat kepercayaan kami,” kata Slot.
Slot akan mengendalikan perlawanan kompetitif pertamanya di Anfield esok apabila menerima kunjungan Brentford.
Bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu berkata, beliau lebih fokus untuk mendapatkan tiga mata daripada memikirkan cara untuk memikat penyokong The Reds.
“Saya tidak cemas. Terutamanya pada waktu ini kerana saya sedang dalam persiapan, menyediakan pasukan untuk hari Ahad ini.
“Jika anda cemas, itu bukan perkara yang baik. Saya percaya apa yang saya dan staf saya lakukan untuk menyediakan pasukan ini dengan cara terbaik. Saya sangat mempercayai pasukan ini,” kata Slot lagi.
Jendela perpindahan Liverpool lebih banyak melihat kelab itu melepaskan pemainnya.
Sepp Van Den Berg dan Fabio Carvalho menyertai Brentford dengan yuran gabungan hampir 50 juta pound (RM289,000) manakala Bobby Clark menyertai Red Bull Salzburg.
Pertahanan England, Joe Gomez juga berkemungkinan akan meninggalkan Anfield sebelum tarikh akhir perpindahan.
Pemain berusia 27 tahun itu menjadi pilihan keempat pertahanan tengah The Reds namun Slot berharap dia dapat kekal di Anfield.
“Buat masa ini saya menjangkakan semua orang akan berada di sini. (Tetapi) segala-galanya boleh berubah,” kata bekas pengurus Feyenoord itu. – AGENSI
habis










