KUCHING: Pasangan adik beradik Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin dan Dayang Nursharzyra mengakui keserasian menjadi kunci utama mereka meraih emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Dalam saingan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong semalam, Awang Sharzan Nasrin dan Dayang Nursharzyra meraih 227.13 mata untuk menewaskan wakil Wilayah Persekutuan (209.04 mata) yang meraih perak manakala Terengganu ketiga (201.81 mata).
Menurut Awang Sharzan Nasrin, sebagai adik beradik, beliau dan Dayang Nursharzyra mempunyai kelebihan kerana mempunyai lebih banyak masa untuk berbincang tentang acara terjunan.
“Saya mula bergandingan dengan adik sejak dua tahun lepas. Saya rasa ia beri kelebihan buat kami (sebagai adik beradik) kerana cara hidup, masa latihan malah ‘otak’ kami pun sama.
“Persamaan kami adalah kuat tidur sebenarnya,” kata Awang Sharzan Nasrin secara berseloroh.
Kelmarin, Awang Sharzan Nasrin gagal menghadirkan kilauan emas dalam acara 3m papan anjal individu selepas menamatkan saingan di tempat kelima.
“Semalam (kelmarin) saya tidak dapat pingat, jadi syukur dapat menang pada acara ini. Sebelum terjunan, saya sering ingatkan adik supaya bertenang.
“Ibu bapa pun suruh kami tenang, kalau rezeki emas tidak akan kemana dan kalau tidak mungkin lain kali,” katanya.-UTUSAN










