KUCHING: Bintang skuasy Sarawak, Nathalie Shu Eng Sim berjaya keluar daripada igauan ngeri selepas gandingannya bersama Harith Danial Jefri mengesahkan pingat emas dalam acara beregu campuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Pusat Skuasy Sarawak, semalam.
Sejak memenangi acara sama pada Sukma 2022, Nathalie berdepan detik paling rendah dialami dalam kariernya apabila alami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kedua-dua belah kakinya.
Untuk itu Harith Danial ambil sikap untuk tidak terlalu beri tekanan kepada Nathalie hingga mampu beri kesan kepada prestasi dalam gelanggang.
“Nathalie alami ACL dua kali di kedua-dua belah kakinya, jadi agak sukar untuk kami harungi saingan kali ini. Sebelum Sukma saya sudah beritahu yang saya begitu yakin denganya.
“Secara fizikal mungkin dia tidak begitu stabil namun saya kekal yakin dengan kualitinya malah kami juga sudah ada keserasian. Sepanjang perlawanan juga saya akan cuba kawal keadaan dan paling penting adalah aspek kemunikasi.
“Persiapan kami sebelum Sukma juga lebih beri fokus kepada kekuatan mental dan saya sentiasa beri motivasi kepadanya,” kata Harith Danial.
Dalam aksi semalam, gandingan Harith dan Nathalie menewaskan pasangan Melaka, U. Thanussa dan Andrik Kai Shan Lim 2-1.
Di set pertama, Harith dan Nathalie menang 11-9 namun tewas 8-11 sebelum kembali menemui sentuhan bagi mengesahkan kejayaan apabila mengungguli set ketiga 11-9.










