PETALING JAYA: Skuad berbasikal trek negara bakal memulakan misi membawa pulang pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris apabila acara pecut individu lelaki dan keirin individu wanita berlangsung hari ini.
Fokus pastinya tertumpu kepada Datuk Azizulhasni Awang yang membuat penampilan kelima dan terakhir di temasya terbesar dunia itu diikuti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Azizulhasni dan Shah Firdaus yang menjadi taruhan untuk memburu pingat emas dalam acara keirin pada Sabtu ini terlebih dahulu akan turun beraksi dalam saingan pecut individu, hari ini dengan harapan ada kejutan berlaku.
Turut beraksi pada hari ini alah Nurul Izzah yang akan membuat penampilan sulung di Olimpik akan memulakan kempen di Paris dalam acara keirin, sebelum bersaing dalam acara pecut individu pada Jumaat ini.
Azizulhasni yang pernah meraih gangsa pada penampilannya di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020 telah melakukan sesi latihan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines mengakui venue pertandingan itu mempunyai tahap kesukaran tersendiri.
“Saya pernah beberapa kali berlumba di sini. Trek nampak bersih dan cerah kerana sudah digilap jadi ia akan lebih laju pada hari perlumbaan nanti.
“Trek di sini berbeza, kalau dapat dilihat transisinya agak curam dan pendek jadi kita kena tukar pendekatan berbeza untuk 200 meter (m) nanti (pecut).
“Bagi acara keirin corak perlumbaan dan kayuhan berbeza sebab selekohnya agak panjang dan bentuknya lebih bulat. Saya percaya dalam sesi seterusnya saya akan lebih baik,” katanya.
Antara pencabar yang bakal memberi tentangan sengit di Olimpik Paris adalah Jack Carlin dari Britain, Matthew Glaetzer (Australia), Harrie Lavreysen (Belanda), Maximilian Doernbach (Jerman), Ota Kaiya (Jepun) dan Jair Tjon En Fa (Suriname).
Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad berbasikal trek, John Beasley percaya ketiga-tiga pelumba negara itu sudah bersedia sepenuhnya untuk mengibarkan cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Beasley berkata, Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu khususnya semasa fasa akhir di Mallorca, sepanyol sebelum berangkat ke Paris.
“Saya berharap pelumba negara tidak mengalami nasib malang ketika perlumbaan termasuk terbabit dengan kemalangan atau berdepan keputusan kontroversi,” katanya.
Ketiga-tiga pelumba negara akan dilengkapi dengan basikal baharu berteknologi tinggi, WX-R Vorteq yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM7.5 juta.-UTUSAN










