Joachim bangkit raih emas

Joachim bangkit raih emas

JOACHIM (kanan) berjaya menewaskan Ameeshenraj dalam perlawanan akhir acara skuasy perseorangan lelaki Sukma Sarawak 2024 di Pusat Skuasy, Petra Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kebangkitan saat akhir yang dijelmakan Joachim Chuah menghasilkan penamat sempurna apabila mengesahkan pingat emas buat Wilayah Persekutuan dalam saingan skuasy perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Pada aksi final, Joachim yang membuat penampilan sulung di Sukma berdepan detik cemas sebelum berjaya menumpaskan wakil Negeri Sembilan, C. Ameeshenraj 3-2.

Dalam aksi di Pusat Skuasy Sarawak itu, Joachim menang set pertama 11-4 namun Ameeshenraj mula menemui sentuhan dengan memenangi dua set seterusnya, 11-8, 11-7.

Joachim kembali mengikat kedudukan apabila menang 11-9 di set keempat untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Ameeshenraj dilihat hampir pasti untuk dikalungkan pingat emas apabila mendahului 10-8 namun Joachim seakan mendapat tenaga tambahan untuk memenangi perlawanan 13-11.

“Ia perlawanan yang menakjubkan. Saya ketinggalan 2-1 dan hampir kalah di set keempat dan kelima tetapi berjaya bangkit untuk memenangi pingat emas.

“Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk Sukma ini, saya hanya mahu buat yang terbaik. Namun saya gembira dapat memenangi emas,” katanya.

Kejayaan ini memastikan Wilayah Persekutuan kembali merampas emas dalam acara perseorangan lelaki selepas wakil Kedah, Ong Sai Hung menang pada edisi dua tahun lalu.

Dalam acara wanita, pemain muda negara, Yee Xin Ying yang mewakili Sabah raih emas selepas menewaskan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, K. Sehveetrraa 9-11, 7-11, 11-8, 11-7, 11-8.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×