Jijoe simpan tenaga untuk keirin?

Jijoe simpan tenaga untuk keirin?

AKSI Azizulhasni Awang dalam acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sudah ‘menyusun’ strategi dengan lebih rapi bagi membuka peluang untuk memburu pingat emas bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin lelaki, Sabtu ini.

Biarpun tewas pada saingan 1/8 acara pecut lelaki di tangan pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland, Azizulhasni yang terkena dengan gelaran The Pocket Rocketman memberi bayangan ‘muslihat’ yang bakal menanti pesaing dalam acara keirin.

Shah Firdaus tewas di pusingan 1/32 kepada pelumba Israel, Mikhail Yakovlev namun, hasratnya untuk menebus kekalahan itu dinafikan oleh pelumba Lithuania, Vasilijus Lendel pada aksi repechages 1/32.

Keputusan itu menyaksikan Azizulhasni dan Shah Firdaus memberi gambaran yang hampir sama dengan pendekatan yang diambil ketika beraksi di olimpik Tokyo 2020.

“Di Tokyo dulu kita akan berlumba dalam pecut. Kita lihat bagaimana keadaan ketika itu. Kalau mara ke final dan jalan ke aksi akhir itu sukar, kami akan tarik diri.

“Pada Olimpik lalu, ramai tidak mengetahui ketika berlumba dengan Jason Kenny, kita boleh menang namun saya memperlahankan kayuhan kerana enggan ke pusingan seterusnya kerana kita akan keletihan berlumba banyak kali.

“Kita mahu simpan tenaga untuk keirin. Menyertai pecut itu untuk lihat keadaan prestasi kita. Kalau kita boleh pergi itu memadai namun jika tidak kami tarik diri dan fokus untuk keirin,” kata Azizulhasni.

Pada edisi di Tokyo, pelumba Britain, Kenny menyingkirkan Azizulhasni dalam acara pecut pada repechages 1/8 dan menyaksikan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu merangkul pingat perak pada acara keirin selepas itu.

Azizulhasni bersama Shah Firdaus akan meneruskan saingannya di Olimpik Paris 2024 menerusi pusingan pertama acara keirin yang dijadualkan berlangsung esok pada pukul 11.20 malam di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN