JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkuatkan pasukan dengan menandatangani pemain import baharu, Eddy Israfilov.
Pemain kebangsaan Azerbaijan itu diperkenalkan menerusi hantaran video dalam laman sosial Johor Southern Tigers, malam tadi.
Israfilov, 32, merupakan seorang pemain tengah yang memiliki pengalaman beraksi di beberapa kelab di Liga Sepanyol, antaranya Granda, SD Eibar dan Cadiz.
Israfilov merupakan pemain baharu keempat Harimau Selatan selepas juara Liga Super 10 musim itu mengikat Park Jun Heong, Enzo Lombardo dan penjaga gol muda, Christian Abad.
Kemasukan Israfilov yang dilihat mengenakan jersi nombor 23 mencetus persoalan tentang masa depan Endrick dos Santos yang merupakan pemilik asal nombor itu.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT,, Alistair Edwards dalam satu hantaran memaklumkan Endrick akan menyertai Kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC secara pinjaman.
Dalam hantaran sama di Facebook Johor Souhtern Tigers, Alistair turut memaklumkan Fergus Tierney turut dipinjamkan ke kelab Thailand, Chonburi FC.
“JDT ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Endrick dan Tierney berikutan perpindahan secara pinjaman masing-masing ke Vietnam dan Thailand.
“Kami berharap pinjaman ini memberi manfaat yang membolehkan Endrick dan Tierney memperoleh pengalaman berharga yang akan membuahkan hasil bagi Harimau Selatan pada masa depan,” katanya.










