KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat mengambil pendekatan berahsia menjelang aksi final Piala FA berdepan Selangor FC (SFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Perkara itu dibuktikan menerusi sidang media pra perlawanan apabila skuad Harimau Selatan memilih ‘menyimpan’ ketua jurulatih Hector Bidoglio sebaliknya memberi ruang kepada penolong jurulatihnya, Jose Lopez dan pemain yang banyak memanaskan bangku simpanan, Junior Eldstal untuk hadirkan diri.
Perkara itu juga boleh dikatakan ‘pelik’ atau mungkin kali pertama berlaku dalam sidang media melibatkan perlawanan final Piala FA dan juga Piala Malaysia dengan tidak ‘membenarkan’ ketua jurulatih dan kapten pasukan hadir.
Sidang media juga berlangsung agak singkat iaitu tidak sampai dua minit disebabkan Lopez dan Eldstal enggan mengulas lebih lanjut berkenaan semua soalan yang diajukan para media.
Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan Harimau Selatan untuk aksi final Piala FA, Lopez hanya menjawab: “Saya tidak tahu, saya tiada apa-apa untuk diperkatakan.”
Jawapan ringkas yang seakan sama juga diberikannya apabila diajukan soalan lain termasuk mengenai tentangan yang bakal diberikan Selangor.
Tindakan sama turut dilakukan Eldstal apabila dia hanya menjawab “sangat bagus” ketika ditanya bagaimana persiapan JDT untuk berdepan Selangor.
JDT yang dibimbing ketua jurulatih, Bidoglio menuju ke pentas akhir dengan reputasi lebih gah berbanding Selangor susulan turun selaku juara bertahan Piala FA dua tahun berturut-turut apabila memenangi trofi itu pada 2022 dan 2023.
Jika berjaya menewaskan Selangor, Harimau Selatan bakal mencipta sejarah sebagai pasukan pertama melakar hatrik menjulang Piala FA tiga tahun berturut-turut.-UTUSAN










