PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri menganggap kegagalannya menerusi acara keirin memberi banyak pengajaran kepadanya untuk beraksi lebih baik dalam acara pecut, malam ini.
Beliau yang membuat penampilan sulungnya di pentas Olimpik berkata, beliau mendapat komen dan maklum balas positif daripada barisan kejurulatihan bagi menampilkan aksi lebih baik dalam acara terakhirnya.
“Maklum balas saya dapat dari jurulatih ialah saya agak lambat memberi tindak balas sehingga menyebabkan saya jauh ketinggalan di belakang. Selepas saya mendapat momentum kelajuan saya dapat memotong kehadapan.
“Malangnya apabila saya tengah menjana kelajuan, saya hanya mendapat tempat ketiga dan mereka hanya pilih dua pelumba untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Pelumba berusia 20 tahun itu terpaksa berlumba di pusingan repechages bagi menempah tiket ke suku akhir namun hanya sekadar menamatkan saingan di carta ketiga.
Sementara itu, Izzah mendedahkan pengalaman beraksi dengan pelumba terbaik dunia, memberi motivasi untuk meningkatkan fizikalnya menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
“Perjalanan saya masih panjang. Saya kena memperbaiki kelajuan saya selepas ini. Bukan itu sahaja, otot badan saya perlu dipertingkatkan supaya saya mempunyai kekuatan untuk memintas.
“Jika dua perkara ini mampu saya perbaiki, pelumba lain sukar untuk memintas saya dan tidak sukar untuk mengejar atlet lain,” jelasnya.-UTUSAN










