PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli memiliki potensi besar untuk beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan, tetapi prestasi yang tidak konsisten dipamerkannya dalam dua pusingan Piala Red Bull MotoGP Rookies mampu menjejaskan peluangnya itu.
Aksi terbaru anak muda berusia 17 tahun itu ialah dalam perlumbaan di Spielberg di Austria yang menyaksikan Hakim Danish sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-14 pada perlumbaan 1 dan 2.
Menerusi keputusan tersebut, anak jati Kuala Terengganu itu sekadar menokok empat mata daripada dua perlumbaan berkenaan dan mengumpul 87 mata untuk menghuni tangga ketujuh dalam senarai keseluruhan pelumba daripada lima pusingan, musim ini.
Sebelum ini, Hakim Danish berada di dalam kelompok lima terbaik, tetapi, ekoran kemerosotan prestasi yang dialaminya dalam dua pusingan di Assen, Belanda dan di Spielberg, hujung minggu lalu menyaksikan kedudukkannya jatuh ke tangga ketujuh.
Hakim Danish sendiri mengakui dia kini bergelut dengan kemerosotan prestasi dan gagal untuk mengekalkan kelajuan jentera yang sepatutnya.
“Pada perlumbaan 1 saya bermula di petak 17 dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-14, masa dalam saingan saya agak bergelut, tetapi, saya cuba untuk kekalkan kelajuan dan cuba mengejar kumpulan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pasukannya, ZK Racing di sini, semalam.
Menurutnya, ketika perlumbaan dia gagal mengawal motosikalnya dengan baik sehingga kerap tersasar daripada trek dan dikenakan ‘long lap penalti’ sebanyak dua kali.
Jelas Hakim Danish, semasa ‘long lap penalti’ ke-2 yang dikenakan ke atasnya dia memacu jentera terlalu laju sehingga terkeluar dari laluan ‘long lap’.
“Akibat kesalahan itu, menyebabkan saya dikenakan tambahan satu lagi `long lap penalti’ dan saya akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.
“Untuk perlumbaan kali ini saya memang bergelut dengan persembahan saya dan berharap untuk pusingan seterusnya saya dapat memperbaiki kekurangan itu,” ujarnya.
Perlumbaan Piala Red Bull MotoGP Rookies kini hanya berbaki dua pusingan iaitu saingan di Aragon, Sepanyol (31 Ogos – 1 September) dan di Misano, Itali (7 – 8 September).
Pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe kini mendahului saingan setelah mengumpul 177 mata, manakala, dua lagi rakan senegaranya, Brian Uriarte serta Maximo Quiles masing-masing mengutip 153 dan 146 mata.-UTUSAN










