BAM perlu fokus bentuk pemain muda

BAM perlu fokus bentuk pemain muda

BEREGU muda, Beh Chun Meng dan Goh Boon Zhe ketika menentang pasangan senegara, Boon Xin Yuan dan Goh V Shem pada pusingan kelayakan Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2024, di Stadium Axiata Arena, pada Mei lalu. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain No.1 dunia, Roslin Hashim menyarankan agar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi penekanan kepada pembentukan pemain muda.

Roslin berkata, BAM perlu mengubah pendekatannya dengan memberi tumpuan lebih kepada pembentukan atlet muda daripada hanya bergantung kepada pemain senior semata-mata.

Katanya, program latihan badan sukan badminton negara itu perlu dikembangkan secara sistematik dan menyeluruh untuk generasi baharu agar Malaysia mempunyai pelapis berkaliber.

ROSLIN HASHIM

“Kita boleh lihat dari Olimpik yang lepas, saya tidak nafikan yang kita ade wakil untuk setiap kategori namun hanya diwakili oleh satu atlet atau satu pasangan sahaja.

“Langkah ini penting untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan badminton negara. Jika kita hanya bergantung kepada pemain sedia ada, kita mungkin akan berdepan masalah pada masa hadapan,” kata Roslin kepada Utusan Malaysia.

Menurut Roslin, pelaburan dalam pembangunan pemain muda akan memberi pulangan jangka panjang yang positif untuk sukan badminton negara.

Selain itu katanya, persiapan awal adalah kunci untuk menghadapi kejohanan utama yang akan datang, termasuk Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Dalam masa yang sama, Roslin menegaskan bahawa masa depan badminton negara memerlukan perhatian serius dari semua pihak yang terlibat untuk hasil yang lebih baik.

“Persiapan harus dimulakan sekarang. Kita perlu memastikan bahawa pasukan kita bersedia untuk cabaran akan datang.

“Kita perlu melihat ke hadapan dan memastikan setiap kategori mempunyai sekurang-kurangnya dua wakil yang mampu bersaing dengan atlet negara lain,” katanya.

Sebelum ini, kem badminton negara hanya berjaya meraih dua pingat gangsa melalui acara perseorangan dan beregu lelaki di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×