Tiga pasukan ‘World Team’ gegarkan LTdL 2024

Tiga pasukan ‘World Team’ gegarkan LTdL 2024

ABDUL Rashid Yaakub (tengah) bersama ketua pegawai operasi LTdL 2024, Emir Abdul Jalal ketika sidang akhbar pengumuman 22 pasukan bertanding pada siri jelajah berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga pasukan berstatus ‘World Team’ akan menghangatkan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, berkata tiga pasukan itu adalah EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazagstan (Kazakhstan) dan DSM Firminich PostNL (Belanda) sekali gus melengkapkan senarai 22 pasukan bakal bertanding pada edisi ke-28 perlumbaan berkenaan.

Katanya, kejayaan memikat tiga pasukan yang menempa nama di Tour de France tahun ini adalah pencapaian membanggakan buat MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur selepas hanya dua penyertaan pasukan berstatus ‘World Team’ pada edisi tahun lalu.

“Pelumba DSM, Romain Bardet dan Frank van den Broek menduduki dua tempat teratas pada peringkat pertama TdF tahun ini. Pelumba EF, Richard Carapaz pula berjaya menguasai jersi kuning pendahulu keseluruhan selepas peringkat ketiga, memenangi Peringkat ke-17 dan merangkul kategori Raja Bukit Tour de France.

“Selain itu, pelumba berpengalaman Astana Qazaqstan, Mark Cavendish muncul pemenang perlumbaan peringkat kelima,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman pasukan LTdL, di MSN, hari ini.

Astana dan EF merupakan pasukan yang beraksi musim lalu manakala DSM kembali semula perlumbaan berstatus ProSeries ini selepas kali terakhir pada 2011 yang mana sebelum ini dikenali sebagai Skill Shimano.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalil menjelaskan pendakian Bukit Fraser yang sepatutnya menggantikan Genting Highlands dibubarkan atas arahan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)..

“UCI memberi arahan supaya tidak ada laluan menuruni bukit yang curam berikutan kemalangan baru-baru ini membabitkan kematian pelumba Coop Repsol di Tour Austria. Jadi kita hanya bermula dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada peringkat keempat
.
“Mereka menasihatkan kita agar cuba menghindarkan perkara ini (menuruni bukit curam) berikutan kemalangan yang bukan sahaja berlaku di Austria namun di Perancis juga turut berlaku kemalangan beramai-ramai membabitkan pelumba,” jelas Emir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN