PETALING JAYA: Perjuangan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada Sukan Olimpik di Paris, Perancis, masih belum menemui titik noktah selepas meraih kemenangan pertama dalam aksi peringkat Kumpulan A, semalam.
Berada dalam kumpulan maut, pasangan Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia itu terdesak untuk mencatat kemenangan bagi mengelak pulang awal ke tanah air dan misi itu berjaya mereka lunaskan selepas membenam beregu No. 6 dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 18-21, 21-15, 21-16 dalam masa 1 jam 13 minit.
Apa yang lebih menarik kejayaan diukir Pearly-Thinaah ke atas bekas juara dunia dua kali itu di Arena Porte De La Chapelle mendapat tepukan gemuruh dan satu ‘standing ovation’ turut diberi oleh penonton yang menyaksikan pertembungan tersebut.
Pearly-Thinaah yang pernah mencipta kenangan manis di bumi Perancis apabila merangkul gelaran pada Terbuka Perancis, dua tahun lalu, selepas mengetepikan beregu sama pada perlawanan akhir kini melebarkan rekod kemenangan 4-2 ke atas Matsumoto-Nagahara.
Hari ini, Pearly-Thinaah bakal berdepan beregu No. 9 dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan mereka wajib menang memastikan dua tempat teratas Kumpulan A menjadi milik mereka.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua beregu terikat dengan kedudukan 3-3, namun, pada perlawanan terakhir di Terbuka Indonesia, Jun lalu, kemenangan berpihak kepada Pearly-Thinaah.
“Kami turun ke gelanggang dengan membawa pemikiran kami takkan rugi apa-apa walau apa pun juga keputusan berdepan pasangan Jepun itu. Kami saling sokong antara satu sama dan fokus kami sepenuhnya kepada permainan di dalam gelanggang,” kata Thinaah yang dipetik daripada laporan televisyen tempatan.
Mengulas mengenai tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’ oleh penonton, Thinaah berkata, beliau memang berasa sangat gembira dan teruja melihat kepada sokongan yang diberi dan dalam masa amat penting untuk dia serta Pearly sentiasa berpijak di bumi nyata.-UTUSAN










