SHAH ALAM: Pasukan dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), MBSA Blue Pelican berjaya merangkul gelaran juara di Kejohanan Ragbi MBSA-UiTM 10 Sebelah Piala Datuk Bandar Shah Alam 2024.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MBSA, Azhar Mohd.Sharif berkata, MBSA Blue Pelican berjaya menewaskan pasukan BMMB Bullets dengan keputusan 5-0 dalam perlawanan akhir di Padang Ragbi Arena 1, Kompleks Sukan UiTM Shah Alam.
“Sebagai juara MBSA Blue Pelican membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta piala dan medal manakala BMMB Bullets selaku naib juara menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan medal,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd.Fauzi Mohd.Yatim dan pemangku tugas Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM, Prof.Madya Dr.Mohammad Noor Jalil.
Azhar berkata, tempat ketiga kejohanan tersebut dimenangi bersama SKDRC dan Asas RC yang membawa pulang RM1,000 dan medal.
“Kejohanan turut menyediakan lima kategori untuk dimenangi yang mana kategori ‘fork’ dimenangi pasukan Lycan RC dan kategori ‘spoon’ dimenangi pasukan Ascent.
“Bagi kategori ‘shield’ dimenangi K.L.O.B dan kategori bowl dimenangi X Shark RC selain kategori ‘plate’ dimenangi pasukan Cobra. Kesemua pemenang membawa pulang plak kejohanan,”ujarnya.
Jelasnya lagi, kejohanan anjuran MBSA dan UiTM itu merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang telah disertai oleh 20 pasukan daripada seluruh negara.-UTUSAN









