KL City ‘hutang’ tujuh bulan gaji Josue

KL City ‘hutang’ tujuh bulan gaji Josue

AKSI Paulo Josue ketika menentang pasukan Johor Darul Tazim pada perlawanan Liga Super 2024 di Stadium Cheras pada Mei lalu. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue jelas memiliki tahap kesabaran yang cukup tinggi apabila terus menjalankan tugas secara profesional bersama Kuala Lumpur City (KL City) FC meskipun tidak dibayar gaji selama tujuh bulan.

Jelas tonggak KL City itu, dirinya sudah tidak menerima gaji sejak Disember tahun lalu dan ia merupakan tempoh paling lama dilaluinya sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Demi kelangsungan hidup, pemain kelahiran Brazil itu terpaksa menggunakan wang simpanannya dan masih bertahan dengan skuad The City Boys kerana sayangkan pasukan itu.

Tambah Josue, ada juga pemain KL City dan barisan kejurulatihan yang mengalami tunggakan gaji sejak Mac lalu namun situasi terbabit tidaklah seteruk dirinya, malah dia juga telah beberapa kali dijanjikan dengan pihak pengurusan untuk membayar gajinya.

“Saya pernah berbincang bersama pengurusan KL City dan mereka berjanji untuk buat bayaran setengah bulan. Namun, itu semua janji palsu kerana mereka tidak pernah membayarnya.

“Ramai bertanya, sudah tujuh bulan (gaji tertunggak) mengapa masih bersama KL City lagi. Saya kekal kerana sayangkan pasukan dan sememangnya menyayangi karier sebagai pemain bola sepak profesional.

“Saya bernasib baik mendapat elaun apabila bermain bersama pasukan kebangsaan dan ia sedikit sebanyak membantu saya tetapi anda tahu berada dalam situasi ini dalam tempoh tujuh bulan tanpa gaji sangat sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Untuk rekod, KL City pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji namun dikatakan sudah diselesaikan oleh pengurusan pasukan terbabit.

Namun, baru-baru ini timbul pula di media sosial yang mengatakan KL City berhadapan tunggakan gaji sehingga tempoh lima bulan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada masalah terbabit sudah diselesaikan atau sebaliknya.

Sementara itu, pemain berusia 35 tahun itu juga sudah memaklumkan beliau sudah memanjangkan kes tunggakan gajinya kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Ada yang mengatakan KL City hanya berhutang dua bulan saja. Itu adalah bohong dan boleh berjumpa atau bertanya saya untuk dapatkan kepastian.

“Tanyalah pemain lain sama ada gaji mereka dibayar penuh. Saya rasa perkara itu tidak berlaku,” katanya yang terpaksa berjimat cermat untuk menampung kos perbelanjaan harian.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia bagi mendapatkan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC Stanley Bernard gagal apabila beliau tidak dapat dihubungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN