PETALING JAYA: Kem badminton negara membuka gelanggang Arena Porte de la Chapelle hari ini menerusi acara beregu campuran, beregu lelaki serta beregu wanita pada aksi peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024.
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil negara pertama yang akan membuat perhitungan dengan gandingan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan.
Tang Jie berkata, beraksi di pentas acara sukan terbesar dunia itu jelas memberi semangat yang berkobar-kobar dan beliau tidak sabar untuk menyajikan aksi yang terbaik selama mereka berlatih.
“Saya dan Ee Wei kini dalam perjuangan untuk memburu kejayaan demi Malaysia. Sokongan anda semua diperlukan untuk merealisasikan sasaran kami untuk membawa pulang pingat ke Malaysia.
“Olimpik ini langkah pertama kami dan akan terus bekerja keras untuk melakar keputusan yang lebih baik daripada sebelum ini,” kata Tang Jie.
Berdasarkan ranking, gandingan No.9 itu dilihat mudah untuk meranapkan lawan mereka yang berada di ranking ke-17 dunia dan rekod pertemuan menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menang sekali.
Selain Tang Jie-Ee Wei, Pearly Tan-M.Thinaah juga akan turun beraksi dalam perlawanan pertama Kumpulan A menentang pasangan China, Chen Qing Chen-Jia YI Fan.
Di atas kertas, pasangan No.13 dunia itu berdepan laluan berliku untuk menundukkan gandingan No.1 dunia itu dengan rekod pertemuan memihak kepada beregu China 1-6.
Tumpuan seterusnya terarah kepada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diundi dalam Kumpulan A menentang pasangan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy.
Pasangan No.4 dunia itu dilihat tidak berdepan masalah untuk menjinakkan gandingan No.18 dunia terbabit selepas rekod pertemuan mereka memihak kepada Aaron-Wooi Yik 4-1.-UTUSAN










