KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow mendedahkan sokongan yang diterima daripada jurulatih psikologi sejak kebelakangan ini telah banyak membantu meningkatkan prestasinya di dalam gelanggang.
Anak jati Kuala Lumpur yang kini menghuni ranking No. 13 dunia itu berkata, kepakaran jurulatih psikologi dalam sukan amat penting kerana selain England, Malaysia merupakan antara negara terawal telah menggunakan khidmat tersebut.
“Dalam kes saya, pada permulaan tahun ini, saya telah mencatat keputusan yang buruk dan sejak itu, saya mula bekerja rapat dengan jurulatih psikologi.
“Jurulatih skuasy saya pada ketika ini (Shaun Moxham) juga merupakan jurulatih mental saya, dia telah melakukan tugasnya dengan cukup baik dalam membantu mengubah perspektif saya.
“Pada peringkat ini, dia banyak membantu persembahan saya untuk berada pada tahap terbaik dan setiap peratusan yang kita boleh dapatkan, ia merupakan satu kelebihan saya ke atas pemain lawan,” katanya.
Menurut Eain Yow, setiap kali bermain buruk, dia akan merujuk kepada jurulatihnya itu dan biasanya mereka tidak akan berbual mengenai skuasy, tetapi, sebaliknya membetulkan mentalnya yang memerlukan perubahan.
“Kita biasanya tidak bercakap tentang skuasy kerana itu bukan masalah saya sebenarnya, apa yang jurulatih psikologi bantu saya ialah cara saya berfikir dan ia perlu berada di tempat yang betul,” ujarnya.
Jelas pemain berusia 26 tahun itu, hasil kerja keras tersebut, ia memberikan hasil yang lumayan apabila dia merangkul gelaran sulung dalam Jelajah Dunia pada Terbuka Jerman dan mara ke suku akhir di Terbuka Britain.
“Bukan sahaja kekuatan saya berjaya ditingkatkan, malah, prestasi saya juga semakin baik kerana pada tahap di mana saya berada sekarang, amat penting untuk mendapatkan sokongan jurulatih psikologi,” tegasnya.
Untuk mendapatkan khidmat terbaik sebagai persiapan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Eain Yow juga bakal berhijrah dari England ke negara Uncle Sam itu mengikut jurulatihnya, Shaun Moxham yang berpindah ke sana.-UTUSAN










