JOHOR BAHRU: Khabar angin bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menandatangani Park Jun Heong terjawab apabila pemain kelahiran Korea Selatan itu diperkenalkan sebagai pemain baharu juara bertahan Liga Super itu.
Pengumuman menerusi klip video berdurasi 37 saat dikongsikan di beberapa akaun media sosial rasmi Harimau Selatan, iaitu Instagram officialjohor dan Facebook Johor Souhtern Tigers, malam tadi.
Jun Heong, 31, yang bakal menyarung jersi nombor 13 sebelum ini mewakili kelab Liga Thailand, Ratchaburi FC.
Kehadiran pemain bek tengah tinggi lampai itu dilihat mampu memperkuatkan juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu termasuk bagi menghadapi cabaran getir dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Jun Heong yang pernah bermain bersama Suwon Samsung Bluewings di Korea Selatan serta menimba pengalaman di Eropah bersama Académico de Viseu dalam Liga Portugal serta Kitchee di Hong Kong.
Kemasukan Jun Heong bakal memberi saingan kepada Jordi Amat, Shane Lowry dan Feroz Baharudin bagi merebut posisi pertahanan tengah itu.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjenamakan semula kejohanan ACL menjadi ACL Elite bermula musim 2024-25 yang akan ditandingi oleh 24 kelab berbanding 40 pasukan dalam saingan sebelum ini.
Kelab-kelab itu akan dibahagikan kepada dua kumpulan besar, iaitu Asia Barat dan Asia Timur dengan setiap kumpulan akan diisi oleh 12 buah pasukan.
Setiap kelab akan turun beraksi masing-masing empat perlawanan di tempat sendiri dan lawan menentang lapan kelab dari rantau berbeza.
JDT merupakan wakil tunggal negara yang bersaing dalam ACL Elite yang akan membuka tirainya pada September ini.-UTUSAN










