PETALING JAYA: Penembak negara, Johnathan Wong Guanjie akan fokus kepada persiapan untuk ke Sukan SEA Thailand 2025 selepas perjuangannya terkandas di pusingan kelayakan Olimpik Paris.
Atlet berusia 31 tahun itu beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol di Sukan Olimpik Paris menamatkan saingan di tempat ke-26 daripada 33 peserta dengan catatan 570 mata sekali gus gagal menempatkan diri pada lapan peserta terbaik untuk ke final.
Bagaimanapun, Johnathan perlu segera bangkit untuk mengalihkan tumpuannya kepada temasya dwi tahunan yang bakal diadakan pada Disember 2025 dan Firdaus berkata anak buahnya itu mempunyai satu kejohanan di Filipina sebagai medan pemilihan ke Sukan SEA Thailand.
“Selepas Sukan Olimpik ini akan fokus kepada Sukan SEA Thailand, ada satu Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Manila, Filipina yang masih belum diketahui bila untuk pemilihan ke Sukan SEA,” kata Jurulatih menembak kebangsaan, Firdaus Abdul Rahim kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Johnathan mengakui tidak berpuas hati dengan prestasinya di temasya itu selepas banyak berkorban bagi memastikan dapat melakukan persiapan terbaik.
“Prestasi agak mengecewakan, kami sudah buat pelbagai persiapan sebelum kami datang ke Paris berbanding dengan Rio 2016.
“Bagaimanapun, saya berasa puas hati dengan laluan persiapan yang kami lakukan dan amat bersyukur dengan segala sokongan yang saya terima setakat ini,” katanya.
Sukan Olimpik Rio pada 2016 merupakan penampilan sulung Johnathan di temasya itu yang turut menyaksikan dia terkandas di pusingan kelayakan. Dia menamatkan saingan di tempat ke-28 dengan catatan 574 mata.-UTUSAN










