Desak Hamidin berundur seperti ‘menyalak bukit’

Desak Hamidin berundur seperti ‘menyalak bukit’

HAMIDIN MOHD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sendiri boleh menentukan kedudukannya bersama badan induk bola sepak negara itu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, segala desakan daripada luar untuk memaksa Hamidin melepaskan jawatannya tidak membawa apa-apa makna ketika ini.

Menurut Mohd Sadek, Hamidin secara dasarnya telah mendapat kepercayaan daripada ahli gabungan badan induk itu dan desakan dari luar boleh diibaratkan seperti ‘menyalak bukit’.

“Saya tiada kuasa mengundi kerana saya tidak berada dalam kalangan yang boleh mengundi. Jadi, saya bercakap sahaja seperti menyalak bukit tetapi ini membuktikan orang yang berada dalam sistem tidak mahu perubahan.

“Kenapa saya perlu desak kerana tidak ada kesan?. Kalau kita ada integriti, jika seseorang itu gagal, dia sepatutnya berundur,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada Hamidin perlu melepaskan jawatan yang disandangnya selepas pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon melepaskan jawatan minggu lalu.

Ditanya mengenai keputusan keputusan drastik Pan Gon meletak jawatan, Sadek berkata, keputusan itu sebenarnya memberi tamparan supaya FAM boleh bangkit dari mimpi.

Katanya, badan induk bola sepak negara itu perlu kembali melihat peranan utama mereka dalam membangunkan sukan No.1 negara itu daripada peringkat akar umbi bagi membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang terbaik.

“FAM perlu melihat sejauh mana peranan mereka sebagai pengurus bola sepak Malaysia yang membabitkan apa sahaja peringkat usia skuad kebangsaan.

“Dalam konteks ini, kita lihat seolah-olah Pan Gon memberi penampar pada FAM. Banyak perkara yang perlu FAM lihat seperti tanggungjawab pemilik kelab yang dikatakan profesional ada alasan main tarik tali dan tidak beri peluang bermain.

“Kalau ia terus berlaku, saya bawa jurulatih terbaik pun takkan mampu buat apa-apa,” katanya.

Pan Gon meletakkan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya secara rasmi 16 Julai lalu kerana komitmen peribadi.

Sepanjang tempoh dua setengah tahun berkhidmat sejak Februari 2022, antara kejayaan terbaik dicapai Pan Gon adalah membawa skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun dan meletakkan Malaysia di tangga ke-130 dalam ranking FIFA.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN