Azeem tagih sentuhan ISN, tolak latihan di Jerman

Azeem tagih sentuhan ISN, tolak latihan di Jerman

Ketua Kontinjen Negara, Datuk Hamidin Mohd Amin menemui Muhammad Azeem Fahmi yang menjalani sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menolak daripada menyertai kem latihan pusat di Jerman yang dikendalikan jurulatihnya, Ken Harnden menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebaliknya, Azeem menagih sentuhan kepakaran daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk memastikan beliau dapat berlari dengan lebih baik dalam acara kegemarannya 100 meter (m) di Olimpik Paris.

Azeem kini berlatih dibawah pengawasan khas oleh bekas jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan serta pengarah teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kalau diikutkan saya berlepas ke Jerman kelmarin namun saya memutuskan untuk tidak pergi ke sana (Jerman). Saya percaya kebolehan MSN dan ISN dan mahu menggunakan segala kemudahan yang mereka berikan kepada saya di sini.

“Kalau di Jerman nanti, Harnden akan melatih saya bersama empat rakan dari Universiti Auburn saya yang bertanding di Paris. Bagaimanapun saya menghargai beliau untuk menolong saya berlatih namun saya akan kekal di MSN,” kata pelari berusia 20 tahun itu.

Semasa saingan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Indonesia minggu lalu, Azeem menerima berita gembira apabila KOM memilihnya berbanding Shereen Samson Vallabouy untuk mengisi kekosongan slot wildcard ke Paris.

Dalam pada itu, pelari kelahiran Teluk Intan itu menambah beliau mahu menggunakan baki masa yang suntuk ini menjalani latihan yang lebih ‘ekstrem’ berbanding sebelum ini.

“ISN akan membantu saya dengan menganalisis biomekanikal dan penilaian prestasi saya untuk mengenal pasti dimana titik kekuatan dan kelemahan saya semasa berlari.

“Latihan minggu depan dijangka lebih agresif dari sebelum ini. Ballard dan Muhammad Izwan akan membantu saya mengharungi persiapan akhir ini,” jelas Azeem.

Pemegang rekod kebangsaan 10.09 saat (s) itu, berhasil mencapai prestasi yang membanggakan apabila merangkul emas pada AUG 2024 menerusi acara 200m dengan catatan 21.15s.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN