PETALING JAYA: Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi tidak mempunyai masalah untuk menjadi atlet negara terakhir berlepas ke Paris bagi menyertai Sukan Olimpik yang membuka tirai secara rasmi, semalam.
Azeem dijadual bertolak ke Paris esok untuk beraksi di Sukan Olimpik buat kali pertama dalam acara 100 meter (m) lelaki di Stade de France pada 3 Ogos ini.
Atlet kelahiran Perak itu berkata, dia masih mempunyai baki lima hari sebelum beraksi selepas tiba di Paris dan sempat untuk memastikan dirinya bersedia sepenuhnya sebelum perlumbaan.
“Bagi saya, tak jadi masalah (berlepas lewat ke Paris) sebab sudah banyak pengalaman sebelum ini. Walaupun saya lihat pesaing terutama dari Asia Tenggara sudah berada di Paris dan saya masih berada di sini…saya yakin badan saya dapat sesuaikan diri dengan baik dari segi cuaca dan persekitaran di sana.
“Kita masih ada lima hari sebelum hari pertandingan sebenar. Dalam lima hari itu… ia sangat penting untuk saya jaga hidrasi, pemakanan dan tidur supaya saya berada dalam keadaan 100 peratus sebelum hari perlumbaan,” kata Azeem.
Dalam pada itu, Azeem mengakui lebih selesa dilabel sebagai bukan pilihan sekali gus mengurangkan tekanannya untuk beraksi di Olimpik Paris.
“Sebagai wajah baharu, saya hanya kekal fokus dan tenang sebab saya ‘underdog’. Tiada siapa meletakkan harapan untuk saya pamerkan prestasi baik dan menang pingat emas.
“Jadi, saya hanya perlu jadi diri sendiri dan buat terbaik dan berikan segala-galanya. Keputusan yang terbaik akan datang kalau kita buat terbaik…bukan untuk diri sendiri tetapi demi negara,” katanya.
Tambahnya lagi, dia turut melakukan persiapan rapi selama dua minggu bagi menghadapi temasya itu dibawah kendalian Pengarah Teknikal KOM, Robert J Ballard dan barisan kejurulatihan.-UTUSAN










