PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi bersedia sepenuhnya untuk mempamerkan larian bertenaga di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kelmarin, Azeem berangkat ke Paris dengan lebih ‘segar’ apabila mengayakan fesyen rambut baharu yang lebih pendek dan kemas berbanding gaya ‘mullet’ sebelum ini.
Pelari berusia 20 tahun yang beraksi dalam acara 100 meter (m) itu berkata, imej baharu adalah salah satu cara untuk beliau membina keyakinannya sebelum beraksi Sabtu ini.
“Saya tidak menjangkakan apa-apa. Bagi saya apa yang saya buat ini (imej baharu) untuk membina keyakinan dalam diri saya sendiri. Saya cuba beri persembahan yang terbaik yang orang nak lihat saya pamerkan. Saya rasa ini yang terbaik untuk saya.
“Saya sudah lama tidak potong rambut dengan betul. Hampir tiga tahun saya tidak menjaga imej penampilan saya. Saya rasa lebih segar daripada sebelum ini. Jika catatan masa bagus, mungkin saya akan kekal dengan imej ini,” katanya.
Sementara itu, pemegang rekod kebangsaan 10.09 saat (s) itu berpegang teguh kepada pesanan ahli keluarganya supaya tidak meletakkan tekanan yang tinggi ketika saingan bermula.
“Keluarga saya sentiasa ada memberi sokongan dan nasihat kepada saya setiap kali kejohanan, namun Olimpik merupakan pertandingan tertinggi dan ianya memberi suasana berbeza buat saya.
“Ahli keluarga saya memberi pesan untuk buat terbaik kerana mereka lebih tahu saya boleh lari sebaiknya jika kekal tenang dan tidak terlalu meletakkan tekanan yang tinggi,” katanya.










