PETALING JAYA: Pasukan Utusan Malaysia muncul juara Kejohanan Tenpin Boling Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) 2024 yang diadakan di Sunway Megalanes, hari ini.
Kejayaan tersebut membolehkan pasukan yang dianggotai oleh wartawan meja sukan Utusan Malaysia membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000 dan juga hamper.
Dalam kejohanan itu pasukan Utusan Malaysia melakukan 1,258 jatuhan pin untuk muncul juara, manakala pasukan TV3 muncul menduduki tempat kedua (1,199) dan pasukan Institut Sukan Negara (ISN) memenangi tempat ketiga (1,114).

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, kejohanan yang disertai 21 pasukan itu berjaya mencapai objektif penganjuran untuk mengumpul dan mengeratkan silaturrahim antara pengamal media sukan di negara ini.
“Tujuan penganjuran kejohanan ini lebih kepada berkumpul dan melakukan aktiviti bersama semua media sukan dan ahli SAM. Kejohanan ini juga diharap dapat mengukuhkan kerjasama yang baik antara pengamal media dengan YAKEB,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berharap kejohanan berkenaan dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama antara SAM dengan pihaknya pada masa akan datang.-UTUSAN










