KUALA LUMPUR: Sanggup menawarkan kewarganegaraan dan memburu jurulatih berkelayakan daripada negara kuasa besar skuasy adalah antara langkah yang diambil China bagi membangunkan sukan itu menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 2028), Amerika Syarikat (AS).
Utusan Malaysia difahamkan, Malaysia antara destinasi menjadi pilihan China untuk mereka kemukakan tawaran tersebut dengan pemain berbangsa Cina menjadi buruan utama di atas faktor bangsa dan mampu berbahasa Mandarin.
Bagaimanapun, langkah tersebut tidaklah semudah yang disangka kerana menurut peraturan yang digariskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), atlet yang terlibat sekurang-kurangnya tidak lagi mewakili negara kelahirannya selama tiga tahun.
Namun begitu, syarat tersebut mungkin boleh dikurangkan atau dimansuhkan oleh Ahli Lembaga Eksekutif IOC dengan persetujuan Jawatankuasa Olimpik Nasional negara terbabit.
Ketika diajukan pertanyaan mengenai kehadiran China di dalam landskap skuasy antarabangsa, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) positif dengan melihat kehadiran kuasa besar sukan dunia itu mampu memberi manfaat kepada pemain kebangsaan.
Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, pihaknya menyedari tentang usaha China tersebut, namun, beliau masih yakin dengan bakat-bakat yang dimiliki Malaysia.
“Sekarang skuasy ada dalam Olimpik, sudah tentu mereka (China) akan membelanjakan banyak wang ke dalam skuasy termasuk mengambil bekas pemain kebangsaan, Ong Beng Hee mengetuai akademi di negara itu.
“Sudah tentu kita akan sentiasa memantau perkembangan di sana, tetapi, kita lebih selesa melihat perkembangan itu daripada sudut positif di mana pemain kita juga boleh pergi ke China menggunakan kemudahan di sana,” katanya.
Menurutnya, skuasy sudah lama bertapak di Malaysia dan negara ini melahirkan ramai pemain handalan dunia seperti Datuk Nicol David, Low Wee Wern dan Mohamad Azlan Iskandar.
Jelasnya, selepas pemain-pemain itu bersara, Malaysia terus melahirkan pemain yang mampu menghadirkan cabaran di pentas antarabangsa dan kali ini, menerusi S. Sivasangari, Ng Eain Yow, Aifa dan Aira Azman serta C. Ameeshanraj.
“Untuk persediaan LA 2028, kita telah duduk berbincang dengan MSN, RTG dan KBS untuk cuba dapatkan bantuan kewangan yang lebih supaya kita boleh membantu mengembangkan bakat pemain kita seperti Sivasangari, Eain Yow, Aira dan Aifa serta pemain lain,” ujarnya.-UTUSAN










