PETALING JAYA: Kejayaan pasukan skuasy kebangsaan lelaki dan wanita menggondol gelaran Asia, hujung minggu lalu, membuktikan Malaysia merupakan sebuah negara kuasa besar di benua ini.
Namun, Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee turut mengingatkan bahawa Malaysia tidak boleh selesa dengan gelaran itu kerana pencabar baharu akan dilahirkan selepas skuasy disenaraikan dalam Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
“Negara seperti China yang merupakan kuasa besar sukan dunia sudah mula melihat skuasy sebagai sukan yang penting.
“Usaha bekas jaguh skuasy negara, Ong Beng Hee dari Amerika Syarikat (AS) berpindah ke Beijing, China menubuhkan sebuah akademi yang saya melihat sebagai satu perkembangan kariernya, tetapi, dalam masa sama ia menunjukkan China kini mula menerima skuasy.
“Apabila destinasi seterusnya adalah China iaitu sebuah negara yang sebelum ini popular dengan sukan badminton dan sukan-sukan lain, saya merasakan negara Asia seperti Malaysia kena fokus menuju Sukan Olimpik 2028,” katanya Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Beng Hee mengumumkan pengundurannya selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan AS dan akan berpindah ke China untuk menubuhkan sebuah akademi di negara itu.
Menurut Sharon, untuk tempoh empat tahun, masanya terlalu singkat untuk China menjadi pencabar dalam skuasy di pentas antarabangsa, tetapi, bagi tempoh yang lebih panjang negara tersebut berpotensi melahirkan ramai pemain handalan dengan populasi yang mereka ada.
Jelas bekas pemain kebangsaan itu, isu itu ada pro dan kontra di mana pembabitan China dalam skuasy akan menjadikan sukan tersebut berpengaruh di Olimpik, tetapi, dalam masa sama Malaysia sebagai kuasa besar Asia perlu bekerja keras melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.
Mengulas pencapaian cemerlang skuad lelaki dan wanita pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Dalian, China, hujung minggu lalu, Sharon memberitahu, kejayaan pasukan lelaki menggondol gelaran kelima dan kali ke-11 buat wanita, merupakan satu pencapaian cemerlang buat barisan pemain negara.
“Sebagai kuasa besar Asia, kita meneruskan momentum dengan pasukan kita diketuai Ng Eain Yow dan Sivasangari, malah, pemain muda seperti Ameeshenraj mampu bermain baik dan tidak gentar membantu Malaysia menjulang gelaran Asia,” ujarnya.
Beliau juga berharap, para pemain negara dapat mengekalkan prestasi baik tersebut, lebih-lebih lagi ada dalam kalangan mereka yang dalam persediaan ke LA 2028.-UTUSAN










