PETALING JAYA: Resipi dan corak taktikal adunan Pan Gon bakal mencorakkan wajah sebenar Harimau Malaya dalam dua aksi terakhir pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun ini sebelum melayan kunjungan Taiwan di laman sendiri pada 11 Jun.
Dengan disertai muka-muka baharu seperti Zhafri Yahya, Adib Raop, Haqimi Azim Rosli dan Engku Shakir bagi menggantikan Darren lok, Arif Aiman Hanapi , Faisal Halim, Syafiq Ahmad dan Romel Morales yang cedera, pastinya corak permainan Harimau Malaya sedikit berbeza daripada kebiasaan.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan pemain yang dipanggil bukanlah sebagai pengukur kepada prestasi pasukan kebangsaan, sebaliknya corak atau taktikal yang diterapkan Pan Gon bakal menjadi kayu pengukur kepada aksi skuad Harimau Malaya.
“Saya tidak rasa pemilihan pemain menjadi isu, kerana dalam bola sepak taktikal atau perancangan dari jurulatih itu yang menjadi taruhan, pemain hanya perlu menterjemahkan taktikal yang diinginkan dalam perlawanan,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Wan Jamak, beliau menyangkal persepsi peminat bola sepak tempatan yang menyatakan skuad Harimau Malaya kelihatan ‘tempang’ ekoran ketiadaan beberapa pemain utama, sebaliknya barisan kejurulatihan telah mempunyai perancangan yang rapi berkaitan pemilihan pemain.
“Saya rasa gelaran ‘tempang’ itu tidak perlu ada kerana saya percaya sudah pasti Pan Gon dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya sudah mempunyai perancangan yang rapi sekiranya berlaku permasalahan seperti ini.
“Bagi saya ini sesuatu yang menarik juga untuk dilihat kerana ini akan membuka ruang kepada pemain-pemain baru yang sedang meningkat prestasinya dalam kelab untuk menonjol dan membuktikan kredibiliti mereka di pentas antarabangsa,” jelasnya.
Sebelum ini, Pan Gon telah menyenaraikan 26 pemain ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 serta memanggil beberapa muka baharu selepas beberapa pemain utama tersisih ekoran kecederaan.










