PETALING JAYA: Pemain tenpin boling negara, Natasha Mohamed Roslan sedia untuk bangkit daripada kekecewaan yang dialaminya selepas gagal membawa pulang kejuaraan di Terbuka Malaysia pada bulan lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu berpuas hati di tempat ketiga selepas tewas kepada Gillian Lim yang merupakan juara kejohanan tersebut.
Biarpun tewas, Natasha yang merupakan juara dunia selepas memenangi emas acara individu di Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada tahun lalu berkata, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan yang diberikan secara keseluruhan.
“Tekanan sentiasa ada terutamanya apabila sudah menjadi juara dunia namun bola itu bulat. Kalau hari itu bukan nasib saya, saya perlu menerimanya. Saya cuba kekalkan momentum.
“Saya berpuas hati dengan persembahan saya namun saya perlu perbaiki ketepatan balingan saya,” katanya.
Natasha dijadual beraksi di Terbuka Singapura yang bermula esok hingga 8 Jun ini sebelum menyertai Terbuka Thailand pada 31 Julai hingga 3 Ogos ini.
Katanya, pemilihan bagi mewakili skuad negara di Kejohanan Asia dekat Thailand pada 15 hingga 26 September ini masih berjalan dan terbuka kepada pemain semua pemain.
“Selepas ini ada beberapa kejohanan yang akan kami sertai dan pemilihan dilakukan menggunakan sistem mata di mana siapa yang berada di kelompok enam pemain teratas akan mewakili negara ke Kejohanan Asia,” katanya lagi.










