PETALING JAYA: Gandingan pemain senior dan muda menjadi ramuan rahsia buat skuad ragbi 15 sebelah (15s) bagi menempuh cabaran menjelang aksi pembukaan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 menentang Korea Selatan, esok.
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam satu kenyataan memaklumkan skuad kendalian Mohd Farid Syazwan mampu tampil dengan aksi menarik menerusi gabungannya itu terutamanya flanker sensasi negara Syarif Nurhidayat Muzhaimey.
“Pemain muda akan mendapat peluang untuk tersenarai dalam 23 pemain menentang Korea Selatan. Sebagai contoh pemain posisi nombor 9 (scrum half), Razali Ramlan yang bakal membuat penampilan kedua di pentas ARC kali ini.
“Mohd Fairuz Ab Rahman sebagai flyhalf akan diberi tanggungjawab selaku kapten pasukan bagi membimbing skuad Bunga Raya 15s.
Skuad Bunga Raya 15s yang dibarisi 23 pemain akan dijangka berlepas ke Incheon, Korea Selatan selewat-lewatnya esok bagi berdepan aksi perlawanan pembukaan menentang tuan rumah.
Selepas selesai menentang Korea Selatan, Malaysia berkelebihan sebagai tuan rumah akan berentap dengan Hong Kong yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 8 Jun ini.
Aksi terakhir menyaksikan skuad negara akan berlepas ke Dubai bagi perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun ini.
Untuk rekod, pada ARC 2023 lalu Malaysia terpaksa akur menjadi mangsa belasahan selepas tunduk kepada Korea Selatan 27-3 diikuti Hong Kong 88-9.










