PETALING JAYA: Beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melakar kejutan ke atas gandingan No. 8 dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi untuk mara ke suku akhir Terbuka Singapura di Singapura, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-14 dunia menumbangkan pasangan handalan China itu 21-13, 21-16 dalam masa 40 minit pada pusingan kedua.
Kemenangan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin membalas dendam di atas dua kekalahan berturut-turut mereka kepada Yu Chen-Xuan Yi pada Terbuka India, awal tahun ini dan Terbuka Jepun pada tahun lalu.
Pada suku akhir, esok, mereka bakal berdepan satu lagi ujian getir berdepan sama ada juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan atau Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia.
Turut mengikut jejak langkah Sze Fei-Izzuddin ke suku akhir ialah gandingan No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mengalahkan beregu No. 10 dunia, Mathias Christansen-Alexandra Boje dari Denmark 21-17, 21-18.
Menanti Tang Jie-Ee Wei di peringkat lapan terbaik ialah pasangan No. 4 dunia, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa juara Malaysia Masters, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang terpaksa menarik diri sewaktu ketinggalan 1-11 dalam set ketiga kepada beregu No. 1 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.
Gandingan No. 16 dunia itu meraih kemenangan dalam set pertama 22-20 sebelum dipaksa bermain dalam aksi penentuan selepas tumpas 11-21 pada set kedua.
“Pasangan saya mengalami kecederaan lutut sewaktu set ketiga, permainan semakin laju, jadi, dengan masalah yang dialami Soon Huat sukar untuk kami bertahan,” kata Shevon yang mengesahkan akan berehat beberapa hari sebelum menyertai Terbuka Indonesia, minggu depan.-UTUSAN










