KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, mengakui skuad bimbingannya masih tercari-cari rentak terbaik kurang sebulan sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) 2024/25.
Menurut jurulatih berasal Croatia itu, beberapa aksi pemanas badan yang dilalui belum menampakkan keserasian terutama dengan kehadiran ramai muka baharu dalam pasukan iu.
Steinbruckner bagaimanapun optimis skuad Penyu mampu meningkatkan prestasi dengan masa yang ada bagi membentuk kesebelasan utama bertemu Perak pada 11 Mei depan.
“Dalam beberapa perlawanan persahabatan ini, saya lihat masih ada salah faham antara pemain dan saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik lagi. Tetapi harus diingat TFC dibarisi ramai pemain baharu.
“Pemain-pemain memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dan konsisten di atas padang. Kami belum mencapai tahap yang diinginkan namun saya yakin prestasi TFC akan semakin baik.
“Apa yang melegakan semua pemain begitu bekerja keras ketika pra-musim untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan saya jamin akan beri peluang sama rata kepada mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
TFC yang juga naib juara Piala Malaysia 2023 membuat rombakan menggugurkan 13 pemain termasuk kapten, Habib Haroon, Sony Norde, Adisak Kraisorn, Liridon Krasniqi dan beberapa lagi.
Mereka digantikan pemain Harimau Malaya, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan selain Marin Pilj, Manuel Ott, Ismaheel Akinade serta Matthew Steenvorden.
Sementara itu, Steinbruckner yakin Akinade mampu mengetuai jentera serangan ekoran masalah kecederaan menimpa Ivan Mamut yang terpaksa disisihkan untuk empat atau lima perlawanan awal Liga Super.
“Azam Azmi (Murad) dan Rahadiazli (Rahalim) pula sudah mula menjalani latihan ringan selepas tercedera bersama skuad kebangsaan tetapi mungkin terlepas saingan awal Liga Super.
“Saya juga berharap tiada kecederaan menimpa Ubaidullah (Shamsul Fazili) dan Safwan (Mazlan) dalam kempen Piala Asia B-23 kerana mereka tonggak pertahanan TFC,” tambahnya.-UTUSAN










