Nazmi impi beraksi di Piala Dunia

Nazmi impi beraksi di Piala Dunia

: NAZMI Nasaruddin (tiga dari kanan) bergambar dengan tiga lagi pengadil perlawanan pusingan kedua Piala Asia 2023/2024 antara Uzbekistan dan Thailand di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar pada 30 Januari lalu.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengadil bola sepak negara, Nazmi Nasaruddin yang telah membuat penampilan di pentas Piala Asia, memasang impian untuk mengadili aksi Piala Dunia pada masa akan datang.

Jelasnya, bagi merealisasikan cita-cita itu, satu lagi perjalanan panjang perlu ditempuhi untuk sampai ke kejohanan tertinggi dunia berkenaan.

“Piala Dunia, satu lagi perjalanan panjang. Saya baru habis tugasan pertama di Doha dan setiap pengadil akan dinilai terhadap prestasi dalam perlawanan dan segala aspek kecergasan,” katanya.

Nazmi bersama dua penolong pengadil sebelum ini telah menempuh perjalanan yang panjang dan sukar sebelum tampil mengadili perlawanan di pentas Piala Asia 2023, Januari lalu.

Tambahnya, mereka terpaksa mengambil masa yang lama termasuk mengikuti latihan di Arab Saudi hasil bantuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Antara cabaran terbesar perlu ditempuh dia bersama rakan-rakannya adalah untuk menyesuaikan diri dengan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mana Piala Asia 2023 menggunakan teknologi itu.

“Pengalaman ke Piala Asia satu perjalanan yang panjang. Bagi seorang pengadil, kami kena berlatih dan mengambil masa yang lama. Unit pengadil FAM sentiasa memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada kami bertiga termasuk dari aspek kecergasan serta teknikal dalam padang.

“Sejujurnya saya cakap, FAM hantar kami berlatih di Arab Saudi selama tiga minggu yang mana menelan kos dan masa. Namun ia memberi banyak manfaat kepada kumpulan saya.

“Bukan senang, kami tiada (pengalaman) VAR tiba-tiba perlu mengadili perlawanan dengan VAR. Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) juga banyak membantu,”ujarnya.

Nazmi bersama dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid membuat penampilan sulung di Piala Asia 2023 ketika mengadili aksi Kumpulan D antara Iraq menentang Vietnam di Stadium Jassim bin Hamad, Qatar, 24 Januari lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN