Eain Yow ke final Terbuka Jerman

Eain Yow ke final Terbuka Jerman

NG EAIN YOW (depan) tidak diberi laluan mudah oleh Joel Makin sewaktu kedua-duanya bertembung pada separuh akhir Terbuka Jerman di Hamburg, Jerman, semalam. - Gambar ihsan PSA World Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow akhirnya menamatkan badi kekalahan di tangan Joel Makin selepas beliau membenam jaguh dari Wales itu untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Jerman di Hamburg, Jerman, semalam.

Dalam aksi separuh akhir itu, Eain Yow yang kini menghuni ranking No. 22 dunia, mengejutkan pilihan pertama, Makin dalam aksi sengit berlanjutan selama 1 jam 13 minit  13-11, 11-8, 6-11, 11-8.

Sebanyak tujuh kali mencuba, akhirnya pemain berusia 26 tahun itu beroleh kemenangan ke atas Makin untuk menjadikan rekod pertemuan kini 1-6.

“Anda dapat melihat bagaimana saya cuba menahan emosi sepanjang perlawanan dan tidak terlalu menunjuk-nunjuk perasaan saya.

“Menentang pemain seperti Joel (Makin), sukar untuk melancarkan serangan di hadapan gelanggang, tetapi, hari ini (semalam), saya benar-benar bebas dan mampu menyempurnakan pukulan di hadapan,” katanya kepada PSA World Tour, semalam.

Menurut Eain Yow, dia tidak boleh terlalu teruja berdepan lawan seperti Makin yang mudah menghukumnya sewaktu set ketiga apabila kesilapan kerap dilakukan.

Jelasnya, pemain yang kini menghuni ranking No. 11 dunia itu memiliki kemampuan untuk bangkit daripada ketinggalan dan membuktikannya sepanjang Terbuka Jerman.

“Dia memiliki reputasi yang sering kali menghadirkan kesukaran kepada pencabarnya,” ujar Eain Yow mengenai musuh ketatnya itu yang pernah menghuni ranking No. 8 dunia.

Walaupun tidak mempamerkan prestasi 100 peratus, Eain Yow memberitahu, Makin masih mampu memaksanya bermain selama lebih sejam yang membuktikan betapa berbahayanya pemain itu sebagai bintang handalan dunia.

“Saya gembira kerana perancangan permainan saya menjadi dan bagaimana saya mengekalkan kekuatan mental saya, tetapi, cabaran ini masih belum berakhir,” kata Eain Yow yang akan berdepan pemain Switzerland, Dimitri Steinmann yang mengejutkan pilihan ketiga, Mohamed ElSherbini dari Mesir 11-8, 11-4, 11-1.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN