KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara perlu melakar sejarah baharu dan tidak lagi boleh bersandar kepada kejayaan lampau termasuk menjuarai Piala Thomas sebanyak lima kali.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Piala Thomas 2024 adalah platform terbaik untuk skuad negara membuktikan kemampuan.
Norza berkata, pembinaan zaman kegemilangan merupakan salah satu penanda aras yang penting untuk sesebuah negara menjadi kuasa besar dalam sukan badminton ketika ini.
“Kita perlu bergerak ke hadapan. Tidak boleh lagi kita terbuai dengan mimpi indah bahawa kita negara yang berkuasa dalam badminton. Kita belum menang Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan rangkul pingat emas Olimpik.
“Saya rasa gelaran negara kuasa badminton itu belum sah selagi kita belum menjuarai dalam kesemua kejohanan berkenaan. Jika mereka berjaya menguasai kejohanan ini maka gelaran itu sangat dialu-alukan.
“Sudah tiba masa barisan pemain baharu ini membina sejarah baharu bukan sahaja untuk negara malah persada antarabangsa juga,” katanya ketika Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Piala Thomas dan Uber 2024, di sini, semalam.
Pasukan badminton lelaki negara menjuarai lima Piala Thomas iaitu pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan kali terakhir adalah 1992.
Dalam pada itu, Norza turut mengumumkan BAM akan memberi ganjaran yang setimpal sekiranya skuad negara berjaya menjuarai Piala Thomas pada tahun ini.
Bagaimanapun, beliau menggesa pemain agar bukan berlandaskan atas wang ringgit sebaliknya bermain bersungguh-sungguh demi maruah dan mengharumkan nama negara.
“Bagi mereka bermain dahulu. Ganjaran tetap akan menanti. Piala Thomas ini bukan bermain semata-mata kerana wang ringgit tetapi bermain dengan mulia untuk negara.
“Hal ini kerana untuk menentukan maruah kita sebagai pemain badminton Malaysia itu terus dikekalkan,” katanya.
Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa BAM menawarkan ganjaran lumayan, melebihi RM1 juta, kepada pasukan negara sekiranya berjaya membawa pulang Piala Thomas.-UTUSAN










