Addeen, Sehveetrraa, Yi Wen selangkah ke Kejohanan Dunia

Addeen, Sehveetrraa, Yi Wen selangkah ke Kejohanan Dunia

CHAN YI WEN (kiri) sewaktu beraksi menentang Cheng Nga Ching pada separuh akhir Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. - Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selama 12 tahun menanti, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar hanya selangkah lagi merealisasikan impiannya beraksi pada Kejohanan Dunia, selepas menyingkirkan pemain Hong Kong, Tan Ming Hong pada separuh akhir Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia, hari ini.

Turun selaku pilihan kedua, Addeen dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas pilihan ketiga itu 7-11, 13-11, 11-5, 11-6 dalam masa 69 minit di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Menanti Addeen dalam perlawanan akhir ialah pilihan pertama, Ryunosuke Tsukue dari Jepun yang menumbangkan seorang lagi wakil Malaysia, Bryan Tze 11-8, 7-11, 11-2, 11-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Addeen berkata, esok, peluangnya berdepan Tsukue adalah seimbang memandangkan pencabarnya itu merupakan seorang pemain yang bagus.

“Walaupun, saya pernah tewas kepada dia, ini Malaysia saya ada sokongan daripada keluarga dan para penyokong di sini, kelebihan berpihak kepada saya.

“Apa yang lebih penting saya perlu fokus dan tampilkan aksi yang lebih baik daripada yang saya pamerkan, hari ini,” katanya sewaktu di temu bual selepas perlawanan.

Sementara itu, dalam saingan wanita, dua wakil negara bakal bertembung sesama sendiri di pentas akhir selepas K. Sehveetrraa dan Chan Yi Wen menundukkan lawan masing-masing pada separuh akhir.

Sehveetrraa, 19, yang menghuni ranking ke-124 dunia hanya memerlukan masa selama 23 minit untuk memastikan slot final menjadi miliknya selepas mengatasi pilihan ketujuh, Toby Tse dari Hong Kong 11-2, 11-8, 11-6.

“Saya amat bangga dengan apa yang telah saya tampilkan setakat ini kerana saya baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring, dan saya berusaha keras untuk persediaan ke kejohanan ini.

“Ini adalah kejohanan pertama saya selepas kembali daripada kecederaan dan saya gembira dapat mara ke final. Untuk perlawanan, esok, saya akan cuba berikan yang terbaik sekali lagi,” kata Sehveetrraa.

Lebih manis, rakan senegara, Yi Wen turut mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas mengejutkan pemain Hong Kong, Cheng Nga Ching yang juga pilihan pertama 11-5, 11-1, 11-8.

“Saya cuba untuk tidak terlalu banyak berfikir dalam perlawanan, hari ini, kerana sikap itu hanya mendorong saya membuat lagi banyak kesilapan.

“Saya hanya fokus kepada pelan permainan saya dan bersyukur semuanya berjalan seperti yang saya rancang,” kata Yi Wen.

Dengan kemaraan dua pemain negara ke pentas final, esok, Malaysia sudah pun mengesahkan satu lagi slot tambahan di Kejohanan Skuasy Dunia yang akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada Mei ini.

Empat lagi pemain utama Malaysia iaitu Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aira dan Aifa Azman telah pun layak ke Kejohanan Dunia lebih awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×