Masih ada peluang rebut tiket ke Paris - Marbawi 

Masih ada peluang rebut tiket ke Paris – Marbawi 

MOHD Marbawi Sulaiman (kiri) dan Ketua Konteonjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin meninjau persiapan atlet memanah negara, Ariana Nur Dania di Kompleks MSN di Nilai, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih ada tiga slot Olimpik yang boleh direbut atlet memanah negara, masing-masing untuk saingan recurve lelaki dan wanita dengan Kejohanan Dunia Antalya di Turki, 18 Jun depan bakal menawarkan tiket terakhir ke Paris.

   Ketua jurulatih skuad memanah kebangsaan, Mohd Marbawi Sulaiman berkata, pada ketika ini, beliau sedang mempersiapkan anak-anak buahnya bagi menyertai Siri Piala Dunia yang bermula di Shanghai, China, April ini.

   “Kesemua pemanah kebangsaan sedang beraksi pada Kejohanan Memanah Kebangsaan 2024 di Shah Alam dan saya melihat pertandingan ini sebagai pemanas badan untuk mereka sebelum beraksi di pentas antarabangsa.

   “Kita masih ada sebulan lebih lagi untuk membuat persiapan rapi dan kejohanan kebangsaan ini membuka peluang kepada saya meneliti kelemahan-kelemahan pemanah kita untuk diperbaiki dalam sesi latihan kelak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

   Menurut Marbawi, dua Piala Dunia di Shanghai dan di Yecheon, Korea Selatan pada Mei bakal menjadi platform terbaik untuknya menilai dan mengenal pasti tiga wakil Malaysia bagi pasukan lelaki serta wanita yang akan beraksi pada Piala Dunia Antalya di Turki nanti.

   Jelasnya, buat masa ini, hanya Ariana Nur Dania Mohamad Zairi yang telah pun mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas dia meraih pingat emas pada Kejohanan Kelayakan Asia di Bangkok, Thailand, November lalu.

   “Untuk wanita sekurang-kurangnya dua slot masih boleh direbut kerana Ariana merupakan pemanah pilihan yang akan berada dalam skuad recurve wanita di Antalya, nanti, manakala, bagi pasukan lelaki persaingan tiga tempat masih terbuka.

   “Jadi, mereka perlu buktikan kemampuan masing-masing sewaktu beraksi di Shanghai dan Yecheon kerana dari situ hanya yang terbaik akan di bawa ke Turki,” ujarnya.

   Pemanah negara yang berada dalam program Podium memiliki peluang merebut slot ke Olimpik dengan skuad lelaki terdiri Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli, Syafiq Busthamin dan Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi, manakala, pasukan wanita, selain Ariana, peluang itu dibuka kepada Nurul Azreena Mohamad Fazil, Syaqiera Mashayikh serta Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini.

   Mengulas mengenai kejohanan kebangsaan yang diadakan di Sekolah Menengah Seksyen 7 Shah Alam, Marbawi memberitahu, Ariana sekadar membawa pulang pingat gangsa setelah dia tewas kepada Nurul Azreena dalam perebutan ke final.

   “Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dalam persembahan Ariana, hari ini (semalam), tetapi, saya masih berpuas hati dengan prestasi keseluruhan kesemua atlet kita setakat ini,” tambahnya.-UTUSAN

 

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN